Berita Dunia
Maduro mengaku tak bersalah di Mahkamah New York, dakwa diculik tentera AS
NEW YORK 6 Jan - Bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang digulingkan daripada jawatan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah serta beberapa tuduhan lain ketika dihadapkan ke sebuah mahkamah persekutuan di New York.
Maduro, 63, yang didakwa diculik oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dua hari lalu, semalam menafikan semua pertuduhan terhadapnya ketika prosiding di Mahkamah Manhattan.
Beliau memberitahu hakim bahawa dirinya tidak bersalah dan tidak melakukan sebarang kesalahan.
Maduro hadir ke kamar mahkamah dengan memakai pakaian berwarna jingga serta seluar coklat muda dan bercakap dengan nada perlahan.
“Saya Presiden Republik Veneuzela dan saya berada di sini dalam keadaan diculik sejak 3 Januari lalu, Sabtu.
“Saya ditangkap di rumah saya di Caracas, Venezuela,” katanya kepada mahkamah dalam Bahasa Sepanyol melalui jurubahasa.
Bagaimanapun, bekas pemimpin yang memerintah negara kaya minyak itu selama 12 tahun secara kuku besi menerima peringatan tegas apabila hakim mengarahkannya menyatakan nama sahaja ketika prosiding berlangsung.
Isteri Maduro, Cilia Flores, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan.
Hakim kemudiannya mengarahkan kedua-dua individu itu terus ditahan dan menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan seterusnya.
Susulan penahanan Maduro dan isterinya, ribuan penyokong dilaporkan berarak di Caracas bagi menyatakan sokongan, ketika bekas timbalannya, Delcy Rodriguez, mengangkat sumpah sebagai Presiden interim Venezuela.
Penangkapan itu disifatkan bakal menamatkan era pemerintahan Maduro di negara berkenaan.
Pasangan itu didakwa diculik oleh komando AS pada awal pagi Sabtu lalu dalam satu operasi ketenteraan yang menyasarkan ibu negara Venezuela menggunakan pesawat perang serta penempatan besar aset tentera laut.
Dalam beberapa pengumuman mengejut sepanjang hujung minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump, mengisytiharkan pihaknya kini menguasai keadaan dan menyatakan hasrat untuk mengambil alih kawalan industri minyak Venezuela yang besar namun uzur.
Di tengah kebimbangan masyarakat antarabangsa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memaklumkan kepada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bahawa prinsip kedaulatan, kemerdekaan politik dan keutuhan wilayah perlu dihormati.
Berita berkaitan
September 7, 2026, 10:12 am
Letusan Gunung Anak Krakatau: Lapangan terbang ditutup, 170,000 penumpang terkandas
September 3, 2026, 4:36 pm
'Asap tak ada ic, tak kenal sempadan', Menteri Indonesia ulas jerebu di Sarawak
September 3, 2026, 4:24 pm
Operasi robohkan masjid secara 'live' cetus kontroversi di India
August 30, 2026, 10:01 am
Detik cemas sekeluarga terperangkap dalam arus deras banjir di Nepal
August 29, 2026, 9:23 am
Banjir Nepal: Dua rakyat Malaysia berjaya dikesan, angka korban melepasi 500 orang
August 28, 2026, 2:52 pm
Polis tahan 2 suspek curi subang dari telinga mayat mangsa banjir di Nepal
August 27, 2026, 3:48 pm
Nepal terima kifarah? 3 minggu sebelum banjir, masjid diceroboh, al-Quran dibakar
August 27, 2026, 10:38 am
Warga emas tolak, tampar budak lepas gaduh dengan cucu
August 27, 2026, 10:16 am
