TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tun M disahkan patah pinggul selepas terjatuh di kediaman

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Jan – Insiden terjatuh di kediamannya awal pagi tadi membawa kepada pengesahan kecederaan serius membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila beliau didapati mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.

Perkara itu dimaklumkan oleh wakil Pejabat Dr. Mahathir, Sufi Yusoff menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

“Selepas menjalani pemeriksaan perubatan, telah disahkan bahawa Tun mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dijangka akan dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi menjalani rawatan lanjut serta pemerhatian rapi oleh pasukan perubatan.

Sufi turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 7.30 pagi di kediaman Dr Mahathir sebelum beliau dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan sedar.

“Beliau dimasukkan ke IJN sekitar jam 9.30 pagi,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 13 Julai 2025, Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun pernah dimasukkan ke IJN akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama selepas menerima rawatan.

+ - reset