TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO perlu hentikan perdebatan dalaman, fokus susun kekuatan BN - Nurulhidayah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Jan – UMNO tidak boleh lagi terperangkap dalam perdebatan dalaman yang hanya memecah-belahkan tenaga dan melemahkan parti, tegas Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Menurut beliau, keperluan paling mendesak ketika ini bukan sekadar penyatuan dalaman, sebaliknya keupayaan UMNO untuk memimpin dan menyusun semula kekuatan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan yang benar-benar berfungsi serta diyakini rakyat.

Katanya, sebarang perpecahan dalaman sama ada secara terbuka mahupun tersirat hanya akan melemahkan parti dari dalam, sekali gus menghakis keyakinan akar umbi.

“Ia juga memberi isyarat yang salah kepada pengundi luar bahawa UMNO masih bergelut dengan masalah sendiri. Sedangkan dalam politik pilihan raya, rakyat tidak akan mengundi parti yang kelihatan keliru dan bercanggah sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat susulan penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan BN akan terus kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Mengulas hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Nurulhidayah berkata, UMNO perlu menyedari bahawa kekuatan nama parti semata-mata tidak mencukupi sekiranya gagal diterjemahkan kepada kesepakatan yang jelas dalam BN.

Beliau menegaskan, sebagai parti dominan dalam BN, UMNO perlu memimpin dengan arah, kejelasan dan kebijaksanaan, bukannya menguasai secara angkuh.

“Tanpa hala tuju bersama BN, UMNO akan bergerak bersendirian, manakala rakan komponen pula terumbang-ambing tanpa strategi yang diyakini,” katanya.

Tambah beliau, menjelang PRU16, apa yang diperlukan ialah strategi baharu yang realistik dan berpaksikan realiti pengundi hari ini, bukannya retorik lama atau nostalgia kemenangan silam.

“Pengundi tidak lagi menilai siapa paling lantang di pentas atau siapa paling banyak ‘likes’ di media sosial. Mereka menilai siapa yang mampu menterjemahkan sokongan menjadi kemenangan di peti undi,” katanya.

+ - reset