TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 10 tahun ditemui kelaparan, cedera di Nilai, polis tahan ibu kandung, bapa tiri

By
|
Kongsi
image

 

NILAI 7 Jan – Keprihatinan seorang penghantar makanan membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan ketakutan, menggigil dan kelaparan di luar sebuah kedai serbaneka di sini pada petang Selasa, dengan kesan kecederaan pada badan dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kanak-kanak itu ditemui bersendirian kira-kira jam 5.30 petang sebelum dibawa ke tempat selamat oleh individu terbabit yang kemudian menghubungi polis.

“Pengadu memaklumkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan menggigil, ketakutan serta kelaparan. Dia kemudian membawanya ke tempat selamat dan menghubungi pihak polis yang seterusnya membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk mengesan penjaga,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada badan mangsa yang disyaki berpunca daripada penderaan.

Susulan itu, polis menahan ibu kandung dan bapa tiri mangsa yang berusia lingkungan 30-an pada jam 1.58 tengah hari Rabu bagi membantu siasatan.

“Kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut,” katanya.

Johari berkata, siasatan lanjut turut mendapati mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 2020 selepas mengalami kecederaan ‘non-accidental injury’ berupa kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan.

Menurutnya, permohonan reman terhadap ibu kandung dan bapa tiri mangsa akan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.

“Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut.

“Orang awam dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya.

+ - reset