TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agong zahir nasihat tegas, pastikan warga tentera darat pegang teguh integriti, amanah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Jan - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) supaya memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) terus berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan serta kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali. Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Baginda turut mengingatkan bahawa kepimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi, justeru PTD perlu menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus dan bertanggungjawab.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati serta diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional dan bebas daripada amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

Dalam satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menegaskan isu kewujudan ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan yang sepatutnya tidak dibenarkan terlibat. “Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan… sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Darat yang baharu, di Istana Bukit Tunku, di sini.

Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu. Pelantikan itu adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 November 2025 dan telah diperkenankan oleh Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

+ - reset