TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMNO main peranan penting pastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan

By
|
Kongsi
image

RAWANG 6 Jan – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan peranan yang dimainkan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan amat signifikan, khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara.

Menurut beliau, kematangan politik yang ditunjukkan UMNO sebagai parti Melayu terbesar dalam kerajaan telah menyumbang kepada pengukuhan perpaduan serta memastikan kerajaan berfungsi dengan baik.

“UMNO kini merupakan parti berteraskan Melayu terbesar dalam kerajaan dengan 30 Ahli Parlimen dan memegang lapan jawatan menteri penuh. Ini menunjukkan peranan signifikan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, kestabilan politik yang dinikmati ketika ini jelas berbeza berbanding penggal lalu yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh lima tahun, sedangkan kerajaan sedia ada mengekalkan seorang perdana menteri sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran.

Ujarnya, kestabilan tersebut membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi dan tadbir urus yang lebih tersusun, sekali gus diterjemahkan melalui petunjuk ekonomi negara yang semakin positif.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, beliau berkata langkah itu memberi isyarat jelas bahawa kepimpinan negara berpaksikan prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban, di samping menyediakan ruang mencukupi untuk melaksanakan dasar serta reformasi yang dirancang.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan UMNO dalam memposisikan parti itu dalam landskap politik semasa, sambil menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal bersatu, stabil dan berfungsi dengan baik.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan amalan “menebuk atap” yang boleh menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang

+ - reset