TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar ucap selamat kembali ke sekolah, titip pesanan buat murid Tahun 1, ibu bapa

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pembukaan sesi persekolahan baharu 2026 hari ini disambut dengan ucapan dan pesanan khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada seluruh pelajar di negara ini, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan alam persekolahan.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengiringi perjalanan pendidikan anak-anak dengan doa serta teladan yang baik.

"Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan.

"Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah," katanya.

Kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula pada bulan Januari tahun ini selepas berlaku peralihan sejak 2022 susulan pandemik COVID-19.

Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini manakala bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam.

 

+ - reset