TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agihan BAP RM150 bernula hari ini, ikut kesiapsiagaan sekolah

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 12 Jan - Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar di seluruh negara dijangka bermula hari ini, tertakluk kepada tahap persediaan setiap sekolah untuk melaksanakan pengagihan bantuan berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata, penyaluran peruntukan kepada sekolah sudah dilaksanakan sejak minggu lalu, sekali gus membolehkan agihan dibuat segera sekiranya persediaan lengkap.

“Duit sudah dimasukkan sejak minggu lepas. Jadi, kalau ada sekolah yang sudah bersedia, hari ini pun sudah boleh mula bergerak.

“Tapi memandangkan duit ini diagihkan secara tunai dan perlu pengiring polis, mungkin sekolah perlu buat persediaan kerana duit ini jumlahnya besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menggalakkan penglibatan ibu bapa secara langsung dalam pengambilan bantuan berkenaan bagi mengelakkan sebarang salah guna oleh pelajar.

“Kalau boleh kita nak melibatkan ibu bapa supaya mereka prihatin dengan apa yang berlaku di sekolah dan keperluan anak-anak.

“Kita tidak mahu bantuan ini sampai kepada anak sahaja, lepas itu dibelanjakan sesuka hati.

“Pernah berlaku sebelum ini, pelajar hanya serah sebahagian daripada jumlah sebenar. Sepatutnya terima RM150, dia beritahu ibu bapa hanya dapat RM100,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam bagi tahun ini.

BAP merupakan bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 yang diberikan kepada 5.2 juta murid bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan. – KOSMO! ONLINE

+ - reset