TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM heret dua bekas panglima ATM ke mahkamah kes rasuah dan salah guna kuasa minggu ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Tindakan undang-undang terhadap pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasuki fasa baharu apabila dua bekas panglima kanan akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah dalam beberapa hari bermula esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar serta bekas Panglima Tentera Darat (TDM), Tan Sri Hafizuddiean Jantan dan isterinya, Salwani Anuar, susulan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM.

Mohd Nizam akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat ini, manakala Hafizuddiean dan isterinya akan dihadapkan ke mahkamah sama, esok.

Esok, Hafizuddiean dan Salwani akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Hafizuddiean juga akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat ini.

Salwani pula akan berdepan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu, Isnin depan.

Sementara itu, Mohd Nizam akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), selain satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

SPRM turut mengesahkan dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir siasatan dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

"SPRM menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Pada 7 Januari lalu, bekas Pegawai Tentera Darat (PTD) bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan sejumlah RM11.4 juta nilai barangan disita dari dua kediaman bekas PTD termasuk sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur.

Rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu dan sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.

SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023.

Pada 11 Januari lalu, seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM yang disiasat SPRM berkaitan salah guna dana turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Susulan itu, pada 14 Januari lalu, seorang lagi pegawai tinggi ATM ditahan SPRM berkaitan kartel projek tender perolehan tentera darat.

+ - reset