TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah arah sita aset Caprice gagal bayar kos RM8,000 kes saman fitnah

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan penyitaan aset milik pempengaruh media sosial, Caprice, susulan kegagalannya menjelaskan kos mahkamah berjumlah RM8,000 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah yang masih berjalan.

Writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Disember 2025 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, selepas perintah diperoleh oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Datuk Seri R Jeyenderan.

Jumlah terhutang itu merangkumi kos RM8,000 yang dianugerahkan menerusi perintah mahkamah bertarikh 15 Oktober 2025, selain alokatur RM320 yang dikira sehingga 21 November tahun sama.

Writ berkenaan membenarkan penyitaan dan, jika perlu, penjualan harta alih milik Caprice selaku defendan bagi melunaskan hutang penghakiman tersebut.

Peguam Muniandy Vestanathan dan Afiq Yahawa yang mewakili Jeyenderan mengesahkan dua bailif mahkamah hadir ke kediaman Caprice di Mont Kiara kira-kira jam 10 pagi hari ini bagi melaksanakan writ itu, dengan diiringi pengawal keselamatan kompleks pangsapuri berkenaan.

Bagaimanapun, usaha tersebut gagal dilaksanakan apabila tiada pihak membuka pintu walaupun loceng dibunyikan beberapa kali, selain pengurusan pangsapuri memaklumkan bahawa Caprice telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat tahun lalu.

Pada 15 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice, selain memerintahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 dalam tempoh dua minggu.

Namun, Caprice didakwa gagal mematuhi perintah pembayaran tersebut.

Jeyenderan memfailkan saman itu pada 21 Julai 2025, mendakwa Caprice memuat naik beberapa hantaran di Instagram pada 10 Julai tahun sama, termasuk gambar dan video yang didakwa mengaitkan beliau dengan aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa bukti sahih.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta atas dakwaan kerosakan reputasi, selain ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 

+ - reset