Berita Berita
JAIS siasat Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri muat naik hantaran berunsur politik kepartian
KUALA LUMPUR 21 Jan – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuka siasatan terhadap pengendali akaun Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri susulan dakwaan wujud hantaran yang dikaitkan dengan kecenderungan politik kepartian, sekali gus bercanggah dengan prinsip berkecuali institusi masjid.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan itu dibuat susulan rujukan terhadap satu hantaran Facebook dan blog yang tular.
Menurutnya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan berkaitan pengurusan masjid dan surau.
“Kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar perintah atau arahan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Shahzihan berkata, MAIS juga akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, termasuk kemungkinan pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa masjid atau surau.
Beliau menegaskan, pendirian tegas MAIS dan JAIS itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu masjid dan surau di negeri ini kekal berkecuali serta tidak terlibat atau cenderung kepada sebarang unsur yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam, khususnya pengaruh politik kepartian.
“Baginda menitahkan supaya masjid dan surau terus menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, selain berperanan sebagai pusat dan nadi kekuatan umat Islam,” tambah beliau.
Sehubungan itu, Mohd Shahzihan menyeru umat Islam agar terus menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam di peringkat kariah.
“Perbezaan pandangan seharusnya memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan penyucian hati, bukannya menimbulkan kebencian, hasad dengki atau ekstremisme yang boleh merosakkan keharmonian umat,” jelas beliau.
Berita berkaitan
January 21, 2026, 2:06 pm
Murid 6 tahun perlu lulus ujian khas untuk layak masuk Tahun 1 - Fadhlina
January 21, 2026, 1:18 pm
DIPN perlu telus, bebas rasuah untuk jamin keberkesanan pertahanan negara – PM
January 21, 2026, 12:30 pm
Wee Ka Siong dirawat akibat jangkitan paru-paru
January 21, 2026, 12:18 pm
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tegur dua timbalan menteri berbual ketika sidang
January 21, 2026, 12:15 pm
'Saya anak Kampung Baru Cina, saya dapat A+ Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dalam STPM' - Kor Ming
January 21, 2026, 12:12 pm
Pendaftaran murid enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula 2027
January 21, 2026, 12:01 pm
Penunggang motosikal ditahan polis lepas aksi 'superman' tular
January 21, 2026, 11:55 am
Kecuaian pemandu punca utama kemalangan, bukan reka bentuk jalan – Nanta
January 21, 2026, 11:40 am
