Berita Berita
Isu pemberian taraf PR, kewarganegaraan tidak boleh dipandang ringan - Sultan Pahang
KUANTAN 24 Jan - Isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan perlu ditangani dengan penuh ketegasan, integriti serta berlandaskan kepentingan kedaulatan negara, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Menurut laporan BERNAMA, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan terhadap perkara berkenaan yang menurut baginda bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya menyentuh amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat, dengan pemberian keistimewaan itu bukanlah urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa.
"Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang-undang, ia adalah ikrar kesetian, sumpah setia kepada raja dan tanah air.
"Kewarganegaraan juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan, ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang.
"Jadi, saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman tetapi benteng kedaulatan negara. Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia," titah baginda.
Sultan Pahang bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan "Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat" di sini, yang turut dihadiri paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.
Al-Sultan Abdullah bertitah kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara, malah maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai.
Dalam menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, baginda turut menyeru golongan muda supaya berani bersuara serta menegur dengan hikmah dan tertib berasaskan fakta sebenar.
"Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan amarah serta caci. Sesungguhnya, kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional, tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan," titah baginda.
Wacana berkenaan menghimpunkan seramai 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan.
Program itu merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi raja berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara.
Berita berkaitan
January 24, 2026, 8:53 pm
'Jangan kerja sebab 'viral' - Fadhlina tegas isu sekolah padat akan ditangani segara menyeluruh
January 24, 2026, 12:13 pm
Anwar beri amaran henti amalan kartel menekan rakyat
January 24, 2026, 10:52 am
Suami isteri maut, tak sempat selamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kudat
January 24, 2026, 12:44 am
'Lu sapa?' - Bos Mydin 'sound' Ahli Parlimen DAP
January 23, 2026, 8:45 pm
Mohamed Shamir dilantik Ketua Eksekutif baharu HRD Corp berkuat kuasa hari ini
January 23, 2026, 7:38 pm
Hati-hati, 10 ajaran sesat dikenal pasti bergerak aktif di Malaysia - JAKIM
January 23, 2026, 5:17 pm
'Saya akan bincang dengan Amirudin' - Anwar cadang projek ternakan babi Bukit Tagar dibatalkan
January 23, 2026, 2:54 pm
PTPTN kerjasama laksana pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin tegar
January 23, 2026, 2:45 pm
