TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya akan bincang dengan Amirudin' - Anwar cadang projek ternakan babi Bukit Tagar dibatalkan

By
|
Kongsi
image

 

BANGI 23 Jan - Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Selangor susulan kebimbangan orang ramai terhadap cadangan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, khususnya membabitkan isu pencemaran dan kesejahteraan penduduk setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mencadangkan supaya projek berkenaan dibatalkan terlebih dahulu.

Menurut beliau, mesyuarat Kabinet hari ini berpandangan isu berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh kerana membabitkan faktor persekitaran serta keresahan rakyat pelbagai kaum di kawasan terlibat.

"Saya akan bincang dengan Menteri Besar (Amirudin) supaya bagi pandangan, kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.

"Kalau pun teknologi baik tapi di kawasan yang menimbulkan keresahan itu tentunya tidak wajar diteruskan," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka dengan perancangan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan kerana kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga kini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Sultan Sharafuddin juga mempersoalkan sama ada perancangan projek berkenaan membabitkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kawasan penternakan seperti babi dan ayam berpotensi mendatangkan masalah pencemaran yang serius, sebagaimana yang berlaku di Morib ketika ini.

Justeru, katanya, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan atau dianggap mudah diselesaikan.

"Pilihan kita kadang-kadang bangunkan di tempat yang sama, yang ada ternakan dengan syarat yang ketat mengenai teknologi baharu.

"Jadi, itu pandangan yang diberikan oleh rakan-rakan dan saya akan bincang semula dengan Menteri Besar, mengambil kira keresahan dan nasihat serta titah Tuanku Sultan Selangor.

"Tentunya ini bidang kuasa kerajaan Selangor tapi saya fikir ia menimbulkan sedikit keresahan," katanya.

 

+ - reset