TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hati-hati, 10 ajaran sesat dikenal pasti bergerak aktif di Malaysia - JAKIM

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 23 Jan - Sebanyak 10 ajaran sesat dikenal pasti masih bergerak aktif di negara ini dengan modus operandi yang semakin licik, termasuk menyamar sebagai program motivasi dan pembangunan diri bagi menarik pengikut.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata ajaran terbabit tidak tertumpu di negeri tertentu, sebaliknya bergerak secara fleksibel mengikut kawasan yang dianggap selamat.

"Malah, ada antaranya yang beroperasi juga di luar negara. Dulu ajaran sesat ini kita boleh nampak. Tetapi sekarang ia datang dengan modul ataupun program motivasi," katanya pada sesi taklimat khas bersama media di sini hari ini.

Menurut beliau, antara cabaran utama dalam membanteras ajaran sesat adalah aspek pendakwaan kerana pengamalnya sering mengamalkan fahaman tersebut secara sulit, sekali gus menyukarkan pembuktian di mahkamah.

Sehubungan itu, Sirajuddin berkata JAKIM memberi penekanan kepada pendekatan pendidikan dan pencegahan dengan memperluas sebaran maklumat kepada masyarakat mengenai ciri, amalan dan fahaman ajaran sesat.

"Bukan sekadar nama kumpulan, tetapi amalan dan fahaman mereka perlu diketengahkan supaya masyarakat faham dan tidak terjebak," katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan tegas semata-mata tidak mencukupi dalam menangani isu berkenaan, sebaliknya usaha mendekati masyarakat secara harmoni dan memberi kefahaman adalah lebih berkesan dalam jangka panjang.

"Apabila masyarakat faham bahawa sesuatu amalan itu salah, mereka akan menjauhinya. Kita bukan hanya melarang, tetapi memberi alternatif dan bimbingan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sirajuddin berkata JAKIM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau penyebaran fahaman menyimpang di media sosial dan Internet.

"Tidak semestinya maklumat di hujung jari itu benar. Masyarakat perlu berhati-hati dan merujuk kepada pihak berautoriti seperti JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri," katanya.

Beliau menegaskan, usaha bersepadu antara agensi kerajaan, pihak berkuasa agama negeri serta masyarakat amat penting bagi memastikan fahaman menyimpang dapat dibendung secara berkesan demi menjaga kesucian akidah umat Islam.

 

+ - reset