Berita Berita
Kemenangan di PRK Kinabatangan, Lamag bukti keyakinan rakyat terhadap BN - Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR 25 Jan - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag disifatkan sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepimpinan serta kestabilan politik di kawasan berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat yang diberikan rakyat merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menjadikan Kinabatangan dan Lamag sebagai fokus perjuangannya.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersama-sama memastikan kemenangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan berkenaan mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, berintegriti dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, kejayaan itu turut melambangkan kesatuan kepimpinan, kematangan kerjasama politik serta keyakinan rakyat terhadap kestabilan dan hala tuju pembangunan di Sabah.
“Apabila pemimpin bersatu, rakyat akan memberikan kepercayaan... buat (Mohd Kurniawan) Naim (Moktar) dan MIHA (Mohd Ismail Ayob), amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dan iltizam yang tinggi, demi memastikan Kinabatangan dan Lamag terus dibela, diperkasa dan dimajukan secara berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, kemenangan calon BN membuktikan keberkesanan gerak kerja jentera parti yang dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Menurutnya, komitmen jentera BN yang bekerja siang dan malam serta kepimpinan parti di bawah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pada PRK tersebut.
“Tahniah buat Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob yang secara rasmi dipilih sebagai ADUN Lamag… selamat berkhidmat, memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan meneruskan legasi kepimpinan hebat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya.
Dalam keputusan PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 dengan majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (WARISAN) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob mengekalkan kemenangan BN dengan majoriti 5,681 undi, menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada WARISAN.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember lalu.
Berita berkaitan
January 25, 2026, 6:58 pm
Rakyat Malaysia ulang alik Singapura lebih lapan kali dalam sebulan tak layak terima STR - Chin Tong
January 25, 2026, 3:32 pm
Polis buru tahanan reman lolos ketika dirawat di Hospital Sungai Bakap
January 25, 2026, 3:28 pm
Silibus Tabika, Tadika KEMAS diselaras untuk kanak-kanak 3 dan 4 tahun selari RPN 2026-2035
January 25, 2026, 12:50 pm
Nurse Deena suap pesakit warga emas India guna tangan, KKM beri penghargaan inspirasi semangat 'Malaysia'
January 25, 2026, 10:37 am
Beri alasan konon bapa terjatuh, rupanya anak tergamak pukul hingga maut
January 24, 2026, 8:53 pm
'Jangan kerja sebab 'viral' - Fadhlina tegas isu sekolah padat akan ditangani secara menyeluruh
January 24, 2026, 8:11 pm
Isu pemberian taraf PR, kewarganegaraan tidak boleh dipandang ringan - Sultan Pahang
January 24, 2026, 12:13 pm
Anwar beri amaran henti amalan kartel menekan rakyat
January 24, 2026, 10:52 am
