TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru tahanan reman lolos ketika dirawat di Hospital Sungai Bakap

By
|
Kongsi
image


 

GEORGE TOWN 25 Jan – Polis Pulau Pinang sedang memburu seorang tahanan reman yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap, Sungai Bakap, pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.45 petang selepas pihaknya menerima laporan daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek berkenaan.

Menurut beliau, ketika melarikan diri, suspek dipercayai masih memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.

“Suspek dikenali sebagai S Clemont, 47 tahun yang ditahan reman berkaitan kes di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, melibatkan kes pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.

“Sebelum kejadian, suspek dibawa ke Hospital Sungai Bakap pada 22 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami serangan sawan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan kejadian itu, polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan dan menangkap semula suspek.

Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian penjawat awam sehingga membolehkan tahanan melarikan diri, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Cheok Kian Soon di talian 012-619 3878, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-585 8222, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

+ - reset