TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beri alasan konon bapa terjatuh, rupanya anak tergamak pukul hingga maut

By
|
Kongsi
image

 


SERDANG 25 Jan - Helah seorang lelaki yang cuba menyembunyikan perbuatan kejamnya terhadap bapa kandung sendiri terbongkar apabila pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan dialami mangsa tidak selari dengan dakwaan terjatuh di rumah.

Pemeriksaan doktor mendapati kecederaan pada tubuh warga emas berusia 76 tahun itu mencurigakan dan konsisten dengan kesan pukulan objek tumpul, sekali gus menimbulkan syak terhadap cerita yang dikemukakan suspek.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 22 Januari lalu, menyebabkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata kejadian mula terbongkar apabila suspek berusia 40 tahun membawa bapanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, kira-kira jam 3 petang pada 19 Januari lalu.

Beliau berkata, mangsa dibawa dalam keadaan separa sedar.

"Suspek mendakwa bapanya terjatuh beberapa kali di kediaman mereka di Rancangan Rumah Murah Seri Kembangan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki berpunca daripada objek tumpul bukannya akibat terjatuh seperti didakwa," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kemudian bergegas ke lokasi sebelum menahan suspek di lobi hospital kira-kira jam 9.30 malam pada hari yang sama.

Katanya, susulan kematian mangsa akibat hentakan kuat di kepala, polis mengklasifikasikan semula kes daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki 11 rekod lalu membabitkan jenayah dan dadah. Namun, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset