Berita Politik
Mohamed Nazri tidak tolak kemungkinan bertanding pada PRU16
KUALA LUMPUR 27 Jan – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya diperlukan oleh parti.
Mohamed Nazri, 72, yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas pada PRU lalu, berkata beliau masih memegang jawatan Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas dan terbuka untuk bertanding semula pada pilihan raya akan datang.
“Saya masih lagi Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas… tengoklah macam mana nanti sama ada ingin bertanding semula atau tidak,” katanya ketika ditemui di sini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) itu sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas selama enam penggal. Beliau bagaimanapun memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU15 selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu.
Pada PRU15, calon Perikatan Nasional (PN), Azahari Hasan, berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Rengas dengan memperoleh 12,931 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ariff Abdul Majid yang meraih 9,885 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Kamil Abdul Munim dengan 7,062 undi.
Mengulas kemungkinan kerjasama UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN), Mohamed Nazri berkata, kerjasama itu lebih sesuai direalisasikan selepas PRU16.
Menurutnya, pelaksanaan kerjasama tersebut sebelum PRU16 berisiko menjejaskan peluang UMNO untuk meraih semula kerusi di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.
“UMNO tewas dan tidak memperoleh sebarang kerusi di empat negeri terbabit pada PRU15. Jika kerjasama dilakukan sebelum pilihan raya, UMNO boleh terus terkubur di negeri-negeri itu.
“Kerjasama boleh dibuat, tetapi bukan sekarang. Dalam politik, kita perlu bijak mengatur strategi,” katanya.
Selain pernah menerajui Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Mohamed Nazri juga pernah memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004 serta menjawat jawatan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dari 2013 hingga 2018.
Berita berkaitan
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
PH muktamad tidak bekerjasama dengan BN bagi PRN Melaka
September 24, 2026, 9:52 am
Notis pembatalan RoS: PAS teguh berdiri bersama parti komponen pertahan PN
September 23, 2026, 8:45 pm
PN terima notis tunjuk sebab pembatalan pendaftaran daripada RoS
September 23, 2026, 8:41 pm
