Berita Berita
'Boleh jadi diskriminatif nanti, ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu umur enam tahun dibatalkan' - PM
KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027, selepas mengambil kira kebimbangan terhadap kesan psikologi dan unsur diskriminasi terhadap kanak-kanak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan telah diteliti secara menyeluruh sebelum diputuskan untuk diketepikan atas nasihat Kementerian Pendidikan.
"Cadangan awal (ujian diagnostik) itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk ke sekolah… tetapi difikirkan nanti ia jadi diskriminatif.
"Maknanya, ada anak-anak ini nak masuk darjah satu, prasekolah, (dikatakan) tidak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu, ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (MUDA-Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, berhubung kebimbangan nasib murid yang gagal melepasi ujian diagnostik sehingga berisiko keciciran pembelajaran.
Anwar menegaskan, ketiadaan ujian berkenaan tidak bermaksud aspek pemantauan diabaikan, sebaliknya peranan guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memastikan tahap kesediaan serta perkembangan pembelajaran kanak-kanak terus dipantau.
Menurut beliau, pendidikan prasekolah kekal sebagai langkah awal yang proaktif kerana memberi tempoh setahun kepada guru untuk menilai dan membuat pemerhatian awal terhadap murid.
"Pada masa sama, sistem penilaian kecil tetap akan dilaksanakan di peringkat tahun empat bagi membolehkan intervensi awal dibuat sekurang-kurangnya dua tahun sebelum murid melangkah ke tingkatan satu.
"Dalam pendidikan, apa sahaja peringkat penilaian tidak terkecuali dan mengundang kontroversi seperti ambil peperiksaan darjah tiga salah, darjah empat salah, darjah enam salah, tidak buat langsung pun salah," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan awal ini dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan matlamat utama kerajaan adalah memastikan kanak-kanak berusia enam tahun memperoleh peluang pembelajaran yang optimum tanpa halangan yang tidak perlu.
Beliau berkata, meskipun terdapat pandangan supaya kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun ditangguhkan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global memandangkan 137 negara telah melaksanakan dasar tersebut.
Sebagai sokongan kepada pelaksanaan dasar itu, katanya, kerajaan memperuntukkan tambahan RM800 juta dalam Belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera, termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.
"Memang benar, saya tak nafikan kalau ikut Kementerian (Pendidikan) pada peringkat awal, dia kata boleh tak kita tangguh setahun lagi. Saya fikir agak berbeda, saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita itu rugi setahun.
"Anak-anak kita generasi sekarang tak seperti dulu, umumnya mereka jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka...jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tak boleh. Tapi anak-anak kita jauh lebih pintar, yang penting, beri pendedahan kepada mereka," katanya.
Berita berkaitan
January 27, 2026, 5:18 pm
RM10 juta geran bantu 5,000 pemilik tukar kenderaan lama, fokus jenama nasional - Anthony
January 27, 2026, 3:44 pm
RM34 juta wang scam berjaya diselamatkan, RM6.7 juta dipulangkan kepada mangsa - Saifuddin
January 27, 2026, 2:56 pm
Lawatan rasmi, misi perdagangan Perdana Menteri 2025 rekod jualan eksport RM45.4 bilion
January 27, 2026, 2:18 pm
KPM pertimbang sekolah dua sesi tangani kesesakan murid bandar - PM
January 27, 2026, 2:01 pm
Lelaki ditahan bantu siasatan cebisan al-Quran dikoyak di Kuching
January 27, 2026, 1:57 pm
Dr Mahathir dilihat menikmati kopi selepas 22 hari dirawat di IJN
January 27, 2026, 1:45 pm
Penduduk Bukit Tagar lega, tak perlu fikir pasal babi lagi
January 27, 2026, 1:43 pm
Chegubard dakwa akan dedah penyelewengan libat pimpinan kementerian dan pusat zakat
January 27, 2026, 1:34 pm
Dakwaan tapak surau dijadikan kuil di PJS4 tidak benar
January 27, 2026, 1:29 pm
