TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak semua kuil dibina secara tidak sah, majoriti ada sejarah sejak zaman British' - Thiban

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Jan -  Kerajaan MADANI digesa mengambil tindakan tegas dan segera bagi membendung polemik berunsur hasutan di media sosial yang melabel kuil Hindu sebagai “kuil haram”, kerana ia berpotensi mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam dalam satu kenyataan media berkata, trend pelabelan semberono itu bukan sahaja mengelirukan fakta sebenar, malah dilihat disengajakan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.

Menurut beliau, hakikat yang sering disalahfahami ialah bukan semua kuil dibina secara tidak sah, sebaliknya majoriti kuil mempunyai sejarah pembinaan sejak era penjajahan British, khususnya di kawasan ladang.

Katanya, kuil-kuil berkenaan dibina secara sah pada ketika itu, namun sehingga kini masih berdepan isu pemilikan tanah susulan kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan proses pewartaan dan pemberimilikan tanah secara menyeluruh.

“Keadaan ini sepatutnya diteliti dan diselesaikan secara adil berlandaskan undang-undang, bukannya dijadikan bahan kecaman atau hasutan di ruang maya,” katanya.

Beliau menegaskan isu berkaitan kuil dan tanah bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan selama puluhan tahun, namun kebelakangan ini menjadi semakin parah apabila terdapat pihak tertentu mengeksploitasinya sebagai alat provokasi.

Dalam masa sama, Thiban turut menegaskan bahawa sebarang perbuatan membina kuil baharu di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa kebenaran serta tanpa bukti sejarah kewujudan tidak wajar dipertahankan.

Katanya, mana-mana pembinaan baharu yang tidak mempunyai asas sejarah berkaitan penempatan ladang perlu disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu garis panduan nasional diwujudkan segera merangkumi pemutihan status kuil sedia ada, pembinaan kuil baharu serta pengurusan dan operasi rumah ibadat bagi mengelakkan kekeliruan, manipulasi fakta dan eksploitasi isu agama.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan tindakan khas termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas yang melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rumah ibadat dan pakar perundangan.

Katanya, langkah itu penting bagi menyelesaikan isu kuil dan tanah secara menyeluruh, adil dan berperikemanusiaan, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI.

“Malaysia hanya akan kekal aman dan stabil jika isu sensitif ditangani dengan kebijaksanaan, keadilan serta berpaksikan undang-undang, bukan sentimen kebencian dan provokasi,” katanya.

 

+ - reset