TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Masalah jalan sesak di Semenyih bakal selesai, jalan pintasan 4.3km hubung terus ke Lebuh Raya SILK - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

SEMENYIH 27 Jan - Masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu penduduk Semenyih dijangka menemui penyelesaian menerusi pembinaan Projek Jalan Pintasan Semenyih, sebuah laluan baharu sepanjang 4.3 kilometer (km) yang akan menghubungkan kawasan itu ke Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Projek berkenaan merupakan kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan, melibatkan pembinaan jalan empat lorong yang menghubungkan Semenyih ke SILK sebelum disambungkan kepada enam lebuh raya utama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu turut melibatkan isu tanah rizab Melayu yang berjaya diselesaikan melalui rundingan dan tolak ansur pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Selangor.

“Projek seperti ini kalau tiada usaha tolak ansur untuk diselesaikan, sukar untuk berjalan sebab ia ‘merempuh’ banyak kawasan. Ia juga menyentuh tanah rizab Melayu.

“Antara yang banyak dibangkitkan penduduk adalah kesesakan. Seperti kita lalui tadi, kesesakan ini sampai tahap serius. Saya tahu Ahli Parlimen di sini memang kerap bangkitkan. Tentunya bila siap ia akan beri keselesaan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Projek Jalan Pintasan Semenyih dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah pertukaran tanah milik Route Edge Sdn. Bhd.

“Dalam masa sama, kerja ambil alih tanah persendirian, soal tanah rizab Melayu itu diganti dan dapat jaminan kerajaan Selangor serta dibantu untuk diselesaikan secara baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyentuh keperluan penyediaan kawasan perkuburan baharu bagi umat Islam di Kuala Lumpur, yang akan ditempatkan di kawasan baharu di Semenyih dan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diuruskan.

“Sementara kita nak selesaikan tanah pembangunan, tanah kubur agak besar juga bagi memenuhi keperluan kawasan Kuala Lumpur dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih.

“Kematian yang meningkat juga menuntut kita segera menyediakan kemudahan ini. Unjuran jumlah kematian akan datang dianggarkan lebih 3,000 kematian setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, kawasan perkuburan sedia ada di Kuala Lumpur hanya mampu menampung keperluan jenazah umat Islam untuk tempoh maksimum empat tahun lagi.

Tambahnya, kawasan perkuburan baharu di Semenyih itu bakal menyediakan sebanyak 100,000 tapak kubur bagi memenuhi keperluan umat Islam dari Kuala Lumpur.

 

+ - reset