TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga ahli geng 'Kapten Praba' tiba di KLIA, akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk reman

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 28 Jan - Tiga penjenayah dikehendaki yang juga suspek utama dalam operasi ‘Ops Jack Sparrow’ tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, selepas ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu, yang dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM), dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk proses dokumentasi pada jam 8.33 pagi sebelum dibawa ke Mahkamah Sepang bagi permohonan reman.

Sumber berkata, beberapa kenderaan yang membawa suspek dari lapangan terbang ke IPD dikawal ketat sepanjang perjalanan bagi memastikan keselamatan dan mengelak sebarang insiden.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, memberitahu satu kenyataan rasmi mengenai kes ini akan dikeluarkan kemudian.

Ketiga-tiga suspek ditahan oleh pasukan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai, selepas bertindak ganas apabila mengetahui mereka akan ditahan, selepas diusir dari United Kingdom (UK). Pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan mereka kerana status mereka sebagai “penjenayah berprofil tinggi.”

Individu berkenaan merupakan sasaran utama ‘Ops Jack Sparrow’, operasi besar-besaran PDRM yang dijalankan pada September tahun lalu. Dalam operasi itu, 17 ahli kumpulan kongsi gelap telah ditahan di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak 2023 dan mempunyai seramai 33 ahli. Ketua kumpulan, dikenali sebagai ‘Kapten Praba’, dikaitkan dengan pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta kes khianat dengan api.

Siasatan awal mendapati operasi itu dijalankan susulan serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang, awal tahun lalu, dan kes pembunuhan seorang lelaki di restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, selain beberapa kes jenayah terancang lain.

PDRM menegaskan semua suspek akan diproses mengikut undang-undang dan langkah kawalan keselamatan tahap tinggi akan diteruskan sepanjang tempoh reman dan siasatan lanjut.

+ - reset