Berita Berita
Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika jadi Timbalan Menteri Pendidikan
KUALA LUMPUR 28 Jan - Kegagalan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020 diakui sebagai satu penyesalan oleh Teo Nie Ching semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan.
Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP itu menjelaskan terdapat kekangan di luar kawalannya ketika itu, namun beliau tidak pernah mengelak daripada mengakui kelemahan berkenaan, termasuk pernah memohon maaf kepada penyokongnya pada 2020 susulan kegagalan merealisasikan janji pengiktirafan UEC dalam tempoh setahun.
Teo yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Komunikasi menegaskan, pendiriannya berhubung pengiktirafan UEC kekal konsisten sejak awal dan tidak pernah berubah.
Menurutnya, pengiktirafan UEC tidak akan menjejaskan identiti nasional negara, sebaliknya berupaya memperkukuh ekosistem pendidikan serta menyokong pembangunan bakat.
“Ia mencerminkan komitmen yang dibuat dalam pelbagai manifesto daripada Pakatan Rakyat hingga Pakatan Harapan, malah Barisan Nasional,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, malam tadi.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan bekas Pengerusi Pasukan Petugas UEC, Eddin Khoo, yang mendakwa Teo mempolitikkan isu UEC demi kepentingan politik sempit.
Eddin turut mendakwa Teo menggunakan pendekatan berbeza ketika berurusan dengan media berbahasa Cina dan bukan Cina semasa menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan.
Mengulas dakwaan itu, Teo menafikan beliau bercakap berbeza kepada komuniti berlainan atau bertindak sebagai provokator dalam isu UEC, sebaliknya menegaskan prinsipnya kekal menyokong pengiktirafan UEC tanpa mengubah pendirian mengikut keadaan.
Beliau menegaskan dakwaan kononnya beliau tidak berminat mencari penyelesaian terhadap isu UEC adalah tidak berasas.
“Saya tidak berasa kesal kerana tegas mengenai pengiktirafan UEC. Saya percaya ia adalah hala tuju dasar yang betul untuk Malaysia dan saya berdiri dengan keyakinan itu.
“Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila kita mengiktiraf dan menghargai semua aliran pendidikan yang menyumbang kepada asas negara,” katanya.
Dalam masa sama, Teo menegaskan perbincangan berkaitan pengiktirafan UEC perlu berlandaskan fakta dan bukan bersandarkan insinuasi atau tanggapan negatif.
Berita berkaitan
January 28, 2026, 1:04 pm
Harga purata rumah di Malaysia cecah RM490,376 seunit - KPKT
January 28, 2026, 12:41 pm
Tiga ahli geng 'Kapten Praba' tiba di KLIA, akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk reman
January 28, 2026, 11:00 am
KDN tidak dedah maklumat siasatan serangan terhadap anak Rafizi di Dewan Rakyat
January 28, 2026, 10:54 am
Kerajaan digesa nilai semula penganjuran sambutan Hari Pekerja Pelancongan di Bukit Bintang
January 28, 2026, 10:47 am
Lori bergerak sendiri rempuh lima kenderaan di Kajang
January 28, 2026, 10:44 am
18 kenderaan rentung dalam kebakaran belukar berhampiran masjid di Johor Bahru
January 28, 2026, 10:43 am
Sultan Selangor larang nazir dan AJK masjid terbabit politik kepartian
January 28, 2026, 10:37 am
Gerai burger jatuh dari lori, penunggang motosikal cedera di Kamunting
January 28, 2026, 9:45 am
