TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadangan hadkan motosikal di lebuh raya akan dinilai secara menyeluruh - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 28 Jan - Sebarang cadangan untuk menghadkan pergerakan motosikal di lebuh raya tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya perlu dibincangkan secara praktikal dan menyeluruh bagi menilai keberkesanan serta kesannya terhadap semua pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun pelbagai cadangan dikemukakan oleh pelbagai pihak, aspek kebolehlaksanaan di peringkat lapangan perlu diberi perhatian utama sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ada macam-macam cadangan yang dikemukakan termasuk dari pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tetapi sama ada ia praktikal atau tidak, itu yang perlu dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan supaya pergerakan motosikal di lebuh raya dihadkan mengikut masa atau kapasiti tertentu bagi mengurangkan konflik dengan kenderaan lain, khususnya pada waktu puncak susulan peningkatan ketara kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Anthony berkata, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah kesan cadangan tersebut terhadap pengguna motosikal yang benar-benar memerlukan laluan lebuh raya untuk ke destinasi masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Anthony menjelaskan bahawa isu berkenaan bukan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa MOT, sebaliknya turut melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pengendali lebuh raya.

"Kita tahu mungkin ada kebaikan dia demi keselamatan terutamanya untuk menghindarkan lebuh raya ini menjadi medan lumba haram," jelas beliau.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penunggang motosikal terus mencatatkan angka korban tertinggi dengan hampir 3,000 kematian direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan bahawa kelajuan, tunggang cuai serta pelanggaran peraturan jalan raya menjadi punca utama peningkatan angka kematian tersebut saban tahun.

 

+ - reset