Berita Berita
Ops Jack Sparrow: Tiga suspek utama dihadapkan ke mahkamah
KUALA LUMPUR 28 Jan – Tiga lelaki yang dikehendaki kerana terbabit dalam kegiatan jenayah terancang didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini sebaik sahaja tiba di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Mumbai, India pada Ahad lalu menerusi Operasi Jack Sparrow yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, tangkapan dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan India berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari 2026.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa pulang ke Malaysia hari ini untuk tujuan pendakwaan dengan bantuan pihak berkuasa di Mumbai.
Tambahnya, PDRM merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan dan menegaskan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pasukan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai selepas bertindak agresif sebaik tiba di negara berkenaan.
Siasatan mendapati mereka diusir dari United Kingdom (UK) selepas pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan susulan maklumat mengenai status mereka sebagai penjenayah berprofil tinggi.
Berikutan mereka memasuki UK melalui penerbangan dari Mumbai, protokol antarabangsa menetapkan ketiga-tiga individu berkenaan dihantar semula ke lokasi penerbangan terakhir. Namun, sebaik pesawat mendarat di Mumbai, mereka bertindak ganas bagi mengelak daripada ditahan.
Menurut Kumar, ketiga-tiga lelaki itu dikenal pasti sebagai sasaran utama Operasi Jack Sparrow, operasi besar-besaran yang dilancarkan PDRM pada September tahun lalu, yang menyaksikan seramai 17 ahli kumpulan kongsi gelap ditahan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak 2023 dengan keanggotaan seramai 33 orang, dan seorang individu dikenali sebagai ‘Kapten Praba’ dikenal pasti sebagai ketua.
Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta khianat dengan api.
Siasatan awal mendapati tindakan terhadap kumpulan itu diambil susulan serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang pada awal tahun lalu, selain penglibatan dalam kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields pada pertengahan tahun lalu serta beberapa kes jenayah terancang lain.
Berita berkaitan
January 28, 2026, 4:05 pm
JAIS nafi tanggung kos roboh tanah diceroboh di PJS4
January 28, 2026, 3:55 pm
Anggota bomba melecur kaki ketika padam kebakaran di Bandar Penawar
January 28, 2026, 3:36 pm
Cadangan hadkan motosikal di lebuh raya akan dinilai secara menyeluruh - Anthony Loke
January 28, 2026, 3:16 pm
Tekanan di tempat kerja salah satu punca gay - Menteri Agama
January 28, 2026, 2:38 pm
Muhyiddin cadang mansuh jawatan pengerusi PN, susun semula kepimpinan gabungan
January 28, 2026, 2:34 pm
Harga emas lepasi AS$5,200 buat pertama kali susulan kejatuhan dolar AS
January 28, 2026, 2:29 pm
Kerajaan Kelantan tetapkan syarat ketat lesen mendulang emas
January 28, 2026, 2:25 pm
ETS beroperasi 24 jam secara bermusim mulai Tahun Baharu Cina
January 28, 2026, 2:20 pm
