TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota bomba melecur kaki ketika padam kebakaran di Bandar Penawar

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 28 Jan – Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengalami kecederaan melecur di kaki ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Jalan Tuatau, Bandar Penawar.

Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, anggota berusia 20 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Anggota terbabit cedera selepas kakinya terjerlus ke dalam kawasan kejadian ketika operasi pemadaman dijalankan.

“Keadaannya stabil dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital,” katanya kepada pemberita di pusat kawalan bomba Taman Bayu Damai, pada Rabu.

Menurut beliau, kebakaran yang melibatkan kawasan pusat pengumpulan sampah seluas kira-kira 10 ekar di Jalan Tuatau, Bandar Penawar, yang berlaku sejak Sabtu lalu, berjaya dipadam sepenuhnya pada Selasa.

Katanya, semua anggota terlibat ditugaskan melakukan operasi pemadaman sehingga waktu malam termasuk di dua lagi lokasi kebakaran lain.

“Semalam kebakaran di Jalan Tuatau berjaya dipadam sepenuhnya dan hari ini operasi ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Beliau berkata, tiga kawasan di Pengerang terlibat dengan kebakaran iaitu di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai melibatkan keluasan 246 ekar, Kampung Lepau seluas 135 ekar dan Jalan Tuatau, Bandar Penawar.

Tambahnya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan tidak dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada pembakaran terbuka, unsur sabotaj atau faktor lain seperti puntung rokok.

“Kita tidak boleh mengesahkan punca kebakaran, namun dalam keadaan cuaca kering dan berangin ketika ini, api boleh tercetus dengan mudah walaupun daripada sumber kecil.

“Ujian menunjukkan puntung rokok yang dibuang ke kawasan berdaun kering juga berpotensi menyebabkan kebakaran, apatah lagi jika api dinyalakan secara sengaja, ia boleh merebak dengan cepat,” katanya.

+ - reset