Berita Berita
“Kalau tak mampu, berundur' — Anwar hilang sabar penguatkuasaan undang-undang lemah
PUTRAJAYA 28 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka meluahkan rasa kecewa dan hilang kesabaran terhadap kelemahan berpanjangan dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya membabitkan penyeludupan, pencerobohan serta kegiatan gelap yang terus berleluasa di negara ini.
Berucap pada Majlis Amanat Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Berkaitan Jenayah Kewangan di sini pada Rabu, Anwar menegaskan sudah tiba masanya pegawai tertinggi badan penguat kuasa memberikan jawapan jelas sama ada mereka benar-benar mampu melaksanakan amanah atau bersedia melepaskan jawatan.
"Saya sampai satu tahap hilang kesabaran. Kalau sudah diamanahkan dan rasa kurang mampu kerana cabaran terlalu besar, saya syorkan dalam tempoh seminggu ini maklumkan kepada ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri bahawa belum bersedia.
"Saya akan hormat kalau memilih untuk ke jawatan yang lebih rendah, tetapi kalau pikul tanggungjawab yang lebih kuat dalam tempoh seminggu, lakukan sebaik mungkin," tegasnya.
Majlis yang berlangsung di Kementerian Kewangan itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.
Anwar berkata, walaupun kerajaan merekodkan pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pentadbiran sepanjang hampir tiga tahun lalu, kelemahan dalam penguatkuasaan tidak boleh terus dibiarkan kerana ia menjejaskan usaha pembaharuan yang dituntut rakyat.
Menurut beliau, ruang penambahbaikan masih luas dan perlu ditangani secara jujur dengan menilai kekuatan serta kelemahan sistem secara menyeluruh, khususnya melibatkan agensi penguat kuasa.
“Sementara kita boleh bersyukur dengan pencapaian yang ada, kita juga mesti insaf dan sedar bahawa masih wujud ruang yang perlu diperbaiki serta kelemahan yang wajib diperbetulkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, selepas hampir tiga tahun menerajui kerajaan, beliau kini lebih memahami realiti di lapangan termasuk kegagalan membendung penyeludupan, pencerobohan dan kegiatan gelap yang terus berlaku, ada kalanya berpunca daripada kelompangan sistem.
Dalam nada tegas, Anwar mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terbuka dan mengapa pasukan penguat kuasa masih dilihat bolos sehingga membenarkan keterlanjuran berterusan.
“Apakah kita sudah hilang nilai? Apa itu kebenaran, ikhlas, ihsan dan adil sehingga kita boleh izinkan perkara ini berlaku?” soal beliau.
Tegasnya, penguatkuasaan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian atau berasingan, sebaliknya memerlukan tindakan pantas dan bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan sebagai satu pasukan.
Anwar turut mengingatkan pegawai kanan yang memegang jawatan tinggi serta memiliki pengalaman puluhan tahun dan pengiktirafan luas bukan individu biasa, justeru kedudukan itu perlu disertai keberanian membuat keputusan dan tindakan yang betul.
“Bintang-bintang kegemerlapan (pangkat) itu sepatutnya mendorong kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak, bukan mengambil sikap sambil lewa,” katanya.
Beliau mengakui ramai penjawat awam telah menyumbang jasa besar dan perkara itu tidak boleh dinafikan, namun kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya budaya sambil lewa terus membenarkan penyeludupan, rasuah dan kegiatan kongsi gelap berlarutan.
Menurut Anwar, laporan pencapaian dan kejayaan boleh diketepikan buat sementara waktu, sebaliknya fokus perlu diberikan kepada tindakan sebenar di lapangan bagi menutup segala ruang jenayah dan ketirisan.
“Saya bukan datang untuk beri gambaran yang luar biasa. Sekarang kita harus tanya diri, adakah bersedia lakukan pembaharuan dan bertanggungjawab membawa perubahan untuk selamatkan bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tempoh yang diberikan kepada kepimpinan agensi penguat kuasa mencerminkan ketegasan kerajaan dalam memperkasakan tadbir urus.
Beliau turut merujuk ketegasan Anwar dalam Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikannya.
"Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Januari, tahun ini adalah tahun untuk tindakan pantas, maknanya kita kena memastikan pematuhan kepada tatakelola dan memperkasakan tadbir urus.
"Tahun ini kita akan banyak membuat penguatkuasaan dan kita akan membanteras rasuah, salah guna kuasa dan (perkara) yang tidak mengikut peraturan," jelas beliau.
Berita berkaitan
January 28, 2026, 4:14 pm
Ops Jack Sparrow: Tiga suspek utama dihadapkan ke mahkamah
January 28, 2026, 4:05 pm
JAIS nafi tanggung kos roboh tanah diceroboh di PJS4
January 28, 2026, 3:55 pm
Anggota bomba melecur kaki ketika padam kebakaran di Bandar Penawar
January 28, 2026, 3:36 pm
Cadangan hadkan motosikal di lebuh raya akan dinilai secara menyeluruh - Anthony Loke
January 28, 2026, 3:16 pm
Tekanan di tempat kerja salah satu punca gay - Menteri Agama
January 28, 2026, 2:38 pm
Muhyiddin cadang mansuh jawatan pengerusi PN, susun semula kepimpinan gabungan
January 28, 2026, 2:34 pm
Harga emas lepasi AS$5,200 buat pertama kali susulan kejatuhan dolar AS
January 28, 2026, 2:29 pm
Kerajaan Kelantan tetapkan syarat ketat lesen mendulang emas
January 28, 2026, 2:25 pm
