TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga asing tak bayar bil rawatan RM102 juta di klinik, hospital kerajaan - Menteri Kesihatan

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 29 Jan - Kegagalan warga asing menjelaskan bil rawatan di klinik dan hospital kerajaan terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam apabila tunggakan mencecah RM102 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.

Menurut laporan Utusan Malaysia, jumlah itu menyamai peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bagi menaik taraf wad hospital kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tunggakan bil rawatan direkodkan sebanyak RM34.97 juta pada 2023, meningkat kepada RM33.46 juta pada 2024, sebelum menurun kepada RM30.57 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, meskipun terdapat penurunan sebanyak 8.64 peratus atau RM2.89 juta pada 2025 berbanding dua tahun sebelumnya, jumlah berkenaan masih membebankan perbelanjaan kesihatan awam negara.

“Misalnya pada 2025, pendatang asing tanpa izin (PATI) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM22.40 juta atau 73.30 peratus daripada nilai keseluruhan bil gagal dibayar.

“Jumlah ini menyumbang jumlah bayaran bil tertunggak iaitu masih sekitar RM30 juta walaupun terdapat penurunan RM2.89 juta berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dzulkefly menjelaskan, kos rawatan warga asing di hospital kerajaan adalah lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia kerana mereka tidak layak menerima subsidi kerajaan.

Sebagai contoh, caj rawatan pesakit luar pakar bagi warga asing ditetapkan sebanyak RM120, berbanding hanya RM1 dan RM5 untuk rakyat Malaysia bagi rawatan pakar.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan beberapa mekanisme pengurusan kutipan hasil dan pemantauan tunggakan bil perubatan bagi memastikan proses pembayaran dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Katanya, antara langkah diambil termasuk mengenakan bayaran deposit kepada warga asing sebelum rawatan diberikan.

Selain itu, Dzulkefly berkata tindakan pemotongan akaun bank syarikat atau majikan turut dilaksanakan sekiranya gagal menjelaskan tunggakan bil perubatan pekerja mereka.

“Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan pihak kedutaan asing untuk tindakan penyelarasan bersama waris pesakit bagi pelunasan tunggakan bil warga negara mereka.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan badan bukan Kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk membantu membiayai kos rawatan negara asing yang tidak mampu.

“Notis tuntutan bayaran juga dikeluarkan kepada individu, syarikat, NGO dan badan berkanun yang merekodkan tunggakan,” katanya.

Dzulkefly berkata, perlindungan kewangan pekerja asing turut diperketatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dengan mewajibkan majikan mencarum Skim Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dalam proses permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Menurutnya, kementerian kini mempergiat kerjasama antara agensi kerajaan dalam merangka strategi dan pelan tindakan berkaitan pengurusan pesakit warga asing, khususnya PATI, bagi menangani isu tunggakan bil perubatan secara lebih menyeluruh.

+ - reset