TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai Imigresen didakwa terima suapan RM5,100 lepaskan warga asing di KLIA

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Jan - Seorang pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,100 sebagai balasan membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Tertuduh, Mohd Rahmat Mat Yusoff, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Mohd Rahmat yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 di Ibu Pejabat Imigresen didakwa menerima suapan wang berjumlah RM5,100 melalui pemindahan dalam talian daripada akaun seorang lelaki.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan oleh pihak Imigresen di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, selain tertuduh gagal melaporkan pemberian suapan berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Putrajaya antara 28 Jun hingga 16 Ogos 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Haeeb Habib Rahman menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di SPRM berhampiran setiap dua bulan.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Nik Mohamaed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kepada sekitar RM5,000 atas alasan anak guamnya perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga orang anak berusia antara 13 hingga 18 tahun.

"Pihak pembelaan tidak membantah terhadap syarat-syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.

"Selain mengambil kira anak guam saya sudah berkhidmat di Imigresen hampir 25 tahun," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Februari depan bagi serahan dokumen.

+ - reset