TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas 72 tahun diseret hampir 10 meter pertahan barang kemas dari diragut penyangak di Kota Bharu

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 29 Jan – Keberanian seorang wanita warga emas mempertahankan barang kemasnya hampir membawa padah apabila dia diseret di atas jalan sejauh kira-kira 10 meter dalam kejadian ragut di Kampung Paloh Rambai, Ketereh, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun dipercayai sedang membakar sampah di halaman rumahnya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, salah seorang suspek turun dari motosikal lalu meragut seutas rantai tangan di pergelangan kiri mangsa serta menarik rantai leher yang dipakainya.

Menurut beliau, mangsa cuba melawan dan bergelut bagi mempertahankan diri, namun tindakan suspek menarik mangsa menyebabkan wanita itu terseret di atas jalan sejauh lebih kurang 10 meter.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmir berkata, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan warga emas, agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling serta mengelakkan daripada memakai atau mempamerkan barangan berharga secara berlebihan bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.

“Kerjasama orang awam amat diperlukan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

+ - reset