Berita Berita
Pilihan raya Datuk Bandar KL cuma ‘eksperimen berbahaya’, PN beri amaran
KUALA LUMPUR 4 Feb – Perikatan Nasional (PN) memberi amaran bahawa cadangan mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak menjamin peningkatan mutu perkhidmatan atau governans, malah berpotensi mencetuskan lebih banyak masalah baharu.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, sistem pemilihan Datuk Bandar secara pilihan raya boleh membawa kepada pempolitikan pentadbiran bandar raya, populisme melampau serta konflik antara Datuk Bandar yang dipilih dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, situasi itu turut berisiko mewujudkan ketidakstabilan dasar apabila keputusan pentadbiran dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukannya perancangan bandar jangka panjang.
“Datuk Bandar yang mempunyai keabsahan demokratik tetapi tidak disertai kuasa undang-undang yang jelas hanya akan melemahkan kepimpinan dan governans yang berkesan.
“Tanpa menyelesaikan isu-isu teras ini terlebih dahulu, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, cadangan tersebut bukan sahaja mengalihkan fokus DBKL daripada tanggungjawab sebenar, malah berisiko melemahkan institusi itu akibat kekeliruan keutamaan dan hala tuju pentadbiran.
Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen PN menggesa kerajaan supaya menyemak semula fokus kajian berhubung cadangan tersebut dengan mengutamakan reformasi institusi, pentadbiran dan perundangan yang lebih realistik serta menyeluruh.
“Bukan mengheret rakyat ke arah eksperimentasi dan ‘roller coaster’ politik serta idea berbahaya yang tidak berpijak di alam nyata,” tegasnya.
Mengulas langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang mencadangkan kajian ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar, Takiyuddin menyifatkan pendekatan itu sebagai terlalu simplistik, naif dan salah arah.
Beliau menegaskan, kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak bergantung kepada sama ada kepimpinan dipilih atau dilantik, sebaliknya terletak pada kekuatan institusi, sistem governans serta budaya pengurusan.
“Jika benar mahu meningkatkan prestasi DBKL, fokus kajian sepatutnya diberikan kepada isu-isu sebenar seperti struktur organisasi, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia, integriti, penguatkuasaan, koordinasi antara agensi serta kualiti dan ketekalan pembuatan keputusan,” katanya.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, cadangan tersebut turut membangkitkan isu perundangan dan perlembagaan yang serius memandangkan Kuala Lumpur merupakan Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Pusat.
Menurutnya, DBKL pula tertakluk kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang berkaitan yang menetapkan kuasa, fungsi serta akauntabiliti dalam kerangka pentadbiran persekutuan.
“Sebarang langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar memerlukan kajian semula menyeluruh terhadap undang-undang sedia ada termasuk bagaimana peranan itu boleh wujud bersama kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain,” katanya.
Tambah beliau, tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas, cadangan tersebut berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan kuasa serta konflik perundangan, sekali gus menjejaskan tadbir urus ibu negara.
Berita berkaitan
February 4, 2026, 4:41 pm
MARA tak sorok 'bawah karpet' kes salah laku, terus lapor SPRM tanpa kompromi - Asyraf Wajdi
February 4, 2026, 3:53 pm
Bakar suar di Jambatan Angkat, 12 penyokong Selangor FC didakwa positif dadah
February 4, 2026, 3:44 pm
'Ada yang menuduh saya mengkhianati negara' - Anwar tegur pembangkang keluar kenyataan biadap
February 4, 2026, 3:02 pm
Remaja cederakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi diperintah jalani khidmat masyarakat
February 4, 2026, 2:54 pm
Mayat reput separuh bogel ditemui di sungai Pantai Remis, polis sahkan kes bunuh
February 4, 2026, 2:49 pm
Dari tirai besi ke istana: Sultan Selangor terharu kisah bekas banduan PhD diberi pengampunan penuh
February 4, 2026, 2:37 pm
Puad Zarkashi tegur Hannah Yeoh: Hormati kuasa Agong, Datuk Bandar KL bukan jawatan pilihan raya
February 4, 2026, 1:46 pm
