Berita Berita
Puad Zarkashi tegur Hannah Yeoh: Hormati kuasa Agong, Datuk Bandar KL bukan jawatan pilihan raya
KUALA LUMPUR 4 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh diingatkan supaya lebih berhati-hati serta menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam urusan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan tidak memperlihatkan proses itu seolah-olah satu pilihan raya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menegaskan, perkara berkenaan telah diperuntukkan secara jelas di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang menetapkan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya boleh dibuat dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Barangkali ramai tidak sedar bahawa pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur memerlukan perkenan YDP Agong. Perkara itu jelas termaktub dalam undang-undang, khususnya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengulas kenyataan Hannah yang memaklumkan kajian berkaitan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bukannya kajian politik, selain meminta orang ramai supaya tidak berasa bimbang.
Bagaimanapun, beliau berkata, hasrat Hannah untuk membentangkan laporan kajian itu kepada umum bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas jelas menunjukkan penglibatan langsung kementerian dalam perkara tersebut.
“Itu bermakna kementerian terlibat. Dan ini juga menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin dalam Perlembagaan,” tegasnya.
Menurut Puad, kajian berkenaan tidak akan dipersoalkan sekiranya matlamatnya adalah untuk memperkukuh akauntabiliti, meningkatkan profesionalisme serta mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau turut berpandangan usaha memastikan Datuk Bandar bebas daripada tekanan politik adalah wajar dan boleh dipertimbangkan demi tadbir urus yang lebih baik.
Namun, katanya, cadangan melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui kaedah seakan pilihan raya adalah pendekatan yang salah dan bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada.
“Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan dilantik melalui pilihan raya. Hannah Yeoh sepatutnya lebih peka dan menghormati peruntukan undang-undang serta kuasa Agong,” katanya lagi.
Sebelum ini, Hannah dilaporkan berkata kajian sedang dijalankan berkaitan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Berita berkaitan
February 4, 2026, 4:41 pm
MARA tak sorok 'bawah karpet' kes salah laku, terus lapor SPRM tanpa kompromi - Asyraf Wajdi
February 4, 2026, 3:53 pm
Bakar suar di Jambatan Angkat, 12 penyokong Selangor FC didakwa positif dadah
February 4, 2026, 3:44 pm
'Ada yang menuduh saya mengkhianati negara' - Anwar tegur pembangkang keluar kenyataan biadap
February 4, 2026, 3:02 pm
Remaja cederakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi diperintah jalani khidmat masyarakat
February 4, 2026, 2:54 pm
Mayat reput separuh bogel ditemui di sungai Pantai Remis, polis sahkan kes bunuh
February 4, 2026, 2:49 pm
Dari tirai besi ke istana: Sultan Selangor terharu kisah bekas banduan PhD diberi pengampunan penuh
February 4, 2026, 2:25 pm
Pilihan raya Datuk Bandar KL cuma ‘eksperimen berbahaya’, PN beri amaran
February 4, 2026, 1:46 pm
