TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mayat lelaki reput ditemui di kebun sawit Sungai Mati, identiti misteri

By
|
Kongsi
image

TANGKAK 5 Feb – Penduduk Kampung Parit Bunga Laut, Sungai Mati gempar selepas mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan telah mereput di kawasan kebun kelapa sawit, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira jam 3.15 petang sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti, termasuk status kewarganegaraan, berikutan keadaan mayat yang sudah mereput teruk.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Roslan berkata, siasatan awal turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca sebenar kematian.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, rakan atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Sungai Mati, SM Azaam Nordin di talian 012-241 6116 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-978 5222.

+ - reset