TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Pramatang dan tiada apa nak bentang” – Kerajaan tolak desakan PN bahas pilihan raya PBT di Parlimen

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Feb – Kerajaan menegaskan tiada keperluan untuk membahaskan cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelantikan datuk bandar di Parlimen ketika ini, sekali gus menolak desakan pembangkang supaya perkara itu dibincangkan segera.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu diambil kerana kajian berkaitan masih belum siap dan belum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut beliau, kajian berkenaan sedang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan setakat ini belum dibawa ke peringkat Kabinet untuk pertimbangan dasar.

“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yeoh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.

“Kabinet juga belum membincangkannya, jadi pada saya ia pramatang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan cadangan pilihan raya PBT serta pelantikan datuk bandar di Parlimen.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan kerajaan tidak menutup pintu kepada sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan isu tersebut melalui saluran rasmi Parlimen.

“Kita terima baik apa-apa cadangan. Jika beliau mahu bangkitkan perkara itu, saya percaya ia boleh dibuat dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.

“Cuma buat masa ini, Kabinet tidak pernah membincangkan perkara ini dan hasil kajian UIAM juga belum dibentangkan, jadi memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan,” katanya.

Isu pilihan raya PBT terus menjadi perdebatan politik dengan pembangkang mendesak pembaharuan demokrasi di peringkat tempatan, namun kerajaan menegaskan sebarang keputusan perlu dibuat berasaskan kajian menyeluruh dan proses dasar yang teratur.

+ - reset