Berita Berita
Modi puji kepimpinan Anwar, hubungan Malaysia–India terus diperkukuh
SERDANG 7 Feb - Hubungan dua hala Malaysia dan India terus diperkasakan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke negara ini, dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pujian atas komitmen reformasi serta kewibawaannya di peringkat serantau.
Modi memuji komitmen Anwar dalam melaksanakan agenda pembaharuan di negara ini, ketajaman intelektual serta kewibawaannya menerajui Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu.
Beliau berkata, beliau amat menghargai keyakinan Anwar terhadap potensi hubungan antara Malaysia dan India, selain penghormatan yang diberikan ketika beliau tiba di negara ini, petang tadi.
"Perdana Menteri Anwar dan saya sudah bersahabat lama, malah sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
"Pada tahun lalu, saya tidak dapat berkunjung ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN, namun saya berjanji kepada sahabat saya ini yang saya akan datang ke Malaysia dalam masa terdekat.
"Seperti dijanjikan, hari ini saya berada di sini," katanya ketika berucap pada sesi bersama komuniti India di sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Anwar.
Modi berkata, hubungan India dan Malaysia terus mencapai tahap lebih tinggi dari tahun ke tahun.
Ketika lawatan Anwar ke New Delhi tahun lalu, katanya, hubungan dua hala itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
"Hari ini, kita melangkah seiring sebagai rakan kongsi ke arah kemajuan dan kemakmuran.
"Kita meraikan kejayaan masing-masing seolah-olah kejayaan kita sendiri," katanya.
Pada masa sama, Modi berkata, Malaysia mempunyai komuniti berketurunan India kedua terbesar di dunia dan banyak perkara yang menghubungkan masyarakat kedua-dua negara.
"Anda menghubungkan roti canai dengan paratha. Kelapa, rempah-ratus dan sudah tentu teh tarik.
"Rasanya begitu akrab, sama ada di Kuala Lumpur atau di Kochi. Kita saling memahami dengan begitu baik, mungkin kerana begitu banyak perkataan yang sama antara bahasa kita dan bahasa Melayu," katanya.
Modi berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari bermula hari ini, atas jemputan Anwar.
Ia adalah lawatan balas susulan lawatan Anwar ke India pada Ogos 2024.
Esok, Modi akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
Berita berkaitan
February 7, 2026, 6:17 pm
Forum CEO Malaysia–India fokus integrasi teknologi dan AI dalam hubungan perniagaan serantau
February 7, 2026, 3:07 pm
Kelantan jangka masalah air selesai menjelang 2050
February 7, 2026, 2:47 pm
'Tahan, humban mereka yang gugat keselamatan negara' - Anwar
February 7, 2026, 11:16 am
Polis tidak benarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di Sogo atas faktor keselamatan
February 6, 2026, 9:59 pm
Bapa OKU sembilan anak didakwa 3 pertuduhan amang seksual anak perempuan bawah umur
February 6, 2026, 5:35 pm
Polis tumpas sindiket dadah laluan Kelantan–Lembah Klang, rampasan dadah bernilai RM13.25 juta
February 6, 2026, 5:20 pm
'Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Nga Kor Ming
February 6, 2026, 5:13 pm
