TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Doktor pelatih miang ditahan rakam perempuan mandi dalam bilik air di hospital di Kelantan

By
|
Kongsi
image

KUALA KRAI 11 Feb – Seorang doktor pelatih di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan merakam seorang wanita yang juga merupakan doktor pelatih sedang mandi selain memiliki gambar dan video lucah pada September tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Hilmi Zulkeflee, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razin Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan dengan merakam seorang wanita yang sedang mandi tanpa pengetahuannya dengan menggunakan sebuah kamera.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik mandi di HSIP di sini kira-kira pukul 6.30 pagi pada 13 September 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Hilmi dituduh memiliki beberapa keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit di sebuah bilik Asrama Pelatih Pegawai Perubatan, HSIP di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 14 September 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor, manakala tertuduh diwakili peguam, Che Mohd. Azim Che Hamat.

Terdahulu, Mazlinda mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Che Mohd. Azim dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya masih muda dan baru pertama kali melakukan kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut. 

+ - reset