TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Hijrah Selangor perkukuh kerjasama dengan TERAJU, perkasa masa depan usahawan ke peringkat lebih tinggi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) melakar satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan usahawan Bumiputera apabila memeterai Pernyataan Persefahaman (MoU) bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), hari ini.

Kerjasama itu dimeterai bersempena pelancaran inisiatif TERAJU Aspirasi Outreach 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel, di sini, dan disempurnakan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Program Pemudahcara TERAJU.

Menerusi kerjasama strategik tersebut, Hijrah Selangor dan TERAJU akan berganding bahu mempercepat pertumbuhan usahawan Bumiputera di Selangor melalui tiga fokus utama iaitu memperluas akses pembiayaan, memperkukuh sokongan perniagaan serta melaksanakan program pembangunan bersama.

Bagi akses pembiayaan, inisiatif itu membuka ruang lebih luas kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi dan matang selepas menamatkan program pembangunan usahawan Hijrah Selangor untuk mendapatkan sokongan kewangan lanjutan.

Dari segi sokongan perniagaan pula, usahawan akan dibantu melalui khidmat nasihat, latihan serta pembangunan kapasiti bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing perniagaan mereka.

Selain itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan program bersama bagi memperkasa usahawan Bumiputera serta mengukuhkan ekosistem ekonomi negeri Selangor secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Mearia Hamzah berkata, usahasama berkenaan mengukuhkan lagi peranan Hijrah Selangor sebagai nadi ekosistem keusahawanan negeri.

Menurut beliau, kerjasama itu amat signifikan dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berskala sederhana dan matang, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membina ekonomi rakyat yang inklusif serta lestari.

“Kerjasama strategik ini membuka peluang lebih luas kepada para usahawan Bumiputera Hijrah Selangor untuk terus berkembang maju dari mikro ke peringkat lebih tinggi. Hari ini, Hijrah Selangor berdiri sama tinggi bersama syarikat gergasi negara yang lain dalam memacu pembangunan ekonomi negara.

“Dengan sokongan pembiayaan dan pembangunan usahawan daripada TERAJU, kami yakin lebih ramai usahawan mikro akan berjaya meningkatkan perniagaan mereka berkembang menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana,” katanya.

Program yang membawa tema 'Memacu Masa Depan Usahawan Bumiputera' itu turut mengetengahkan kisah kejayaan usahawan Hijrah Selangor yang berjaya beralih daripada perusahaan mikro kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), malah menembusi pasaran antarabangsa.

Antara yang diketengahkan ialah Drims Trading Sdn Bhd yang membangunkan peranti perubatan tempatan berjenama Ismail Clamp dan kini digunakan di klinik serta hospital seluruh negara.

Syarikat itu turut menembusi pasaran luar seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja, Bangladesh dan Afrika Selatan, dengan sasaran jualan eksport mencecah RM1.2 juta.

Turut mencatat perkembangan memberangsangkan ialah Boohaci Infinity Sdn Bhd, pengeluar produk makanan dan minuman berasaskan rumpai laut di bawah jenama Teego.

Bermula dengan modal RM100 dari rumah, syarikat itu kini mengendalikan dua kilang di Cheras, menggaji 15 pekerja serta mencatatkan jualan tujuh angka setahun, selain merancang pengembangan ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Sementara itu, ASAS ILM Sdn Bhd melalui jenama Pentagon Math pula berjaya membangunkan bahan bantu mengajar matematik yang kini dipasarkan di seluruh negara serta kembali menembusi pasaran Brunei Darussalam.

Ditubuhkan pada 2015 di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Hijrah Selangor berperanan menyediakan sistem penyaluran modal yang efisien kepada peniaga kecil melalui skim pembiayaan seperti NIAGAPLUS dan SURIPLUS, dalam usaha memperluaskan golongan kelas menengah serta memperkukuh daya saing usahawan tempatan.

+ - reset