TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPA semak semula pekeliling 'lapuk' lebih 20 tahun, termasuk isu 'side job', pemilikan saham

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Feb - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menyemak semula pekeliling, peraturan dan garis panduan yang telah berkuat kuasa melebihi 20 tahun, termasuk yang berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPA memaklumkan semakan itu dibuat berdasarkan keperluan semasa yang mengambil kira pelbagai perubahan dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.

Menurutnya, pengemaskinian berkenaan turut menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang merupakan teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, dengan penekanan terhadap peningkatan kecekapan, integriti serta pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa, tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam," katanya.

Pada masa sama, JPA memaklumkan semua entiti kerajaan diwajibkan menyemak semula setiap instrumen kawal selia di bawah bidang kuasa masing-masing, termasuk pekeliling, peraturan dan garis panduan.

Semakan itu perlu dilaksanakan setiap tiga tahun selaras dengan ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.

Selain itu, prosedur semakan turut perlu dibuat berdasarkan Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2025.

"Pekeliling, peraturan dan garis panduan melebihi 20 tahun atau pemakaiannya tidak lagi relevan ketika ini sedang diberi perhatian untuk dikemas kini, termasuk berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.

"Ini berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang berlaku dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi," katanya.

+ - reset