TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AMK yakin kerjasama UMNO-Pas beri kelebihan kepada PH di Melaka

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Feb – Cadangan agar UMNO dan Pas bergabung di Melaka menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak menggusarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK), sebaliknya dilihat mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, pandangan yang dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu mencerminkan keresahan politik dalam parti berkenaan.

Menurutnya, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bukan menggambarkan kekuatan, sebaliknya kebimbangan terhadap perubahan sokongan rakyat, selain cubaan menghidupkan semula pendekatan lama yang telah diuji dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

“AMK dan PH tidak pernah takut untuk berdepan mana-mana parti. Kami sudah melalui pelbagai pengalaman sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang.

“Kami percaya kepada dasar yang jelas, rekod pentadbiran serta sokongan rakyat yang mahukan politik lebih matang dan berintegriti. Jika UMNO memilih untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRN akan datang, itu hak mereka.

“Namun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan landskap politik Melaka sudah berubah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, sebarang kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak melemahkan PH, malah berpotensi memperkukuh kedudukan gabungan berkenaan di peringkat negeri dan Parlimen.

Katanya, pengundi kini membuat penilaian berdasarkan keupayaan mentadbir dan kejujuran, bukan lagi retorik perkauman semata-mata.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal dalam satu temu bual audio siar pada Rabu menyarankan penyatuan UMNO dan Pas dimulakan di Melaka dan tidak hanya dijadikan strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Walaupun Pas tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRN lalu dan UMNO menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, beliau menegaskan usaha penyatuan Melayu tidak seharusnya dilihat dari sudut pembahagian kerusi semata-mata.

Dalam pada itu, Danish mengingatkan bahawa politik masa hadapan perlu berteraskan penyelesaian isu rakyat, kestabilan serta pembaharuan, bukannya bergantung kepada slogan sempit.

“AMK akan terus mempertahankan agenda reformasi dan kepercayaan rakyat. Kami bersedia menghadapi sebarang cabaran pada bila-bila masa,” katanya.

+ - reset