TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN beri amaran peniaga bazar Ramadan patuh tanda harga atau diambil tindakan

By
|
Kongsi
image

SABAK BERNAM 12 Feb – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan peniaga bazar Ramadan mesti mempamerkan tanda harga dengan jelas dalam tempoh 24 jam atau berdepan tindakan penguatkuasaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pematuhan kepada peraturan penandaan harga adalah wajib dan sebarang kegagalan akan dipantau serta diambil tindakan segera.

“Mana-mana peniaga yang tidak meletakkan harga, salurkan maklumat kepada kami bersama lokasi bazar, dan kami akan pantau,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ihsan Food Bank (i-FB)@PSIS di Politeknik Sultan Idris Shah, Khamis.

Armizan menjelaskan pemantauan bazar Ramadan bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi rutin kementerian menjelang Ramadan dan Aidilfitri melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Selain memastikan tanda harga dipamerkan, pihak penguat kuasa KPDN juga memantau peniaga bagi mengelak pencatutan serta memastikan pematuhan undang-undang.

Beliau menambah kerajaan mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan bekalan barangan, terutama bahan mentah, mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan harga.

“Sekiranya bekalan tidak mencukupi, ia akan mengganggu dan menjejaskan harga. Sejak tahun lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penstabilan Bekalan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN. Kami turut berbincang bersama kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memastikan bekalan stabil ketika permintaan meningkat,” katanya.

Armizan berkata, pendekatan bersepadu itu membuahkan hasil apabila dua tahun kebelakangan ini tiada isu besar berkaitan bekalan menjelang musim perayaan.

“KPDN akan terus memastikan bekalan mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri supaya harga barangan tidak melambung tinggi, sekali gus melindungi pengguna,” tambah beliau.

+ - reset