Berita Ekonomi
KWSP tambah pegangan Sunway susulan tawaran ambil alih IJM bernilai RM11b
KUALA LUMPUR 19 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan terus menambah pegangan sahamnya dalam Sunway Berhad selepas syarikat itu mengumumkan tawaran pengambilalihan bersyarat bernilai RM11 bilion terhadap IJM Corporation Berhad.
Berdasarkan pemfailan di Bursa Malaysia, KWSP mengumpul 44.15 juta saham Sunway dalam tempoh kurang sebulan antara 13 Januari hingga 11 Februari, sekali gus meneruskan pengumpulan berterusan yang bermula sejak hujung tahun lalu.
Sejak awal tahun ini, KWSP telah menambah 64.07 juta saham dengan lebih separuh diperoleh selepas Sunway secara rasmi mengumumkan tawaran pengambilalihan IJM pada 12 Januari.
Pada 13 Januari, KWSP membeli lebih 10 juta saham – pembelian sehari terbesar bagi saham Sunway setakat tahun ini. Kaunter itu ditutup setengah sen atau 0.89 peratus lebih tinggi kepada RM5.65 pada hari berkenaan.
Daripada 22.3 juta saham yang diniagakan, hampir separuh dikaitkan dengan KWSP, sekali gus melonjakkan jumlah dagangan kaunter itu ke paras tertinggi dalam hampir dua bulan.
Untuk rekod, KWSP memulakan 2026 dengan pegangan 8.59 peratus dalam Sunway bersamaan 580.5 juta saham dan sehingga 11 Februari, pegangan itu meningkat kepada 9.54 peratus atau 644.61 juta saham.
Berdasarkan data Bursa Marketplace, pegangan diperbesar itu bernilai kira-kira RM3.65 bilion dan KWSP kini merupakan pemegang saham institusi ketiga terbesar dalam konglomerat pelbagai sektor berkenaan.
Saham Sunway terakhir diniagakan pada RM5.77 menjadikan nilai pasaran syarikat sekitar RM39 bilion dan dilaporkan meningkat kira-kira dua peratus sejak awal tahun ini.
Pemegang saham terbesar Sunway kekal diterajui Sungei Way Corp Sdn Bhd dan Jef-San Enterprise Sdn Bhd masing-masing memegang 46.89 peratus dan 9.43 peratus saham, kedua-duanya dimiliki Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Jeffrey Cheah dan keluarga.
Secara berasingan, pemfailan turut menunjukkan KWSP meningkatkan pegangan dalam IJM daripada 18.43 peratus kepada 20.48 peratus dengan memperoleh 71.84 juta saham selepas pengumuman pengambilalihan itu.
Susulan perkembangan tersebut, beberapa firma penyelidikan memberi pandangan berbeza terhadap tawaran berkenaan.
Hong Leong Investment Bank Bhd dan MBSB Research mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran Sunway dengan alasan penilaian yang adil serta potensi manfaat strategik daripada penggabungan.
Bagaimanapun, Kenanga Research menasihatkan pelabur menolak tawaran itu dengan menyatakan harga yang ditawarkan tidak mencerminkan nilai sebenar IJM.
Pemegang saham IJM mempunyai tempoh sehingga 6 April untuk membuat keputusan, manakala pengambilalihan dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2026 tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat.
Berita berkaitan
February 19, 2026, 2:21 pm
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026
February 12, 2026, 10:30 am
Hijrah Selangor perkukuh kerjasama dengan TERAJU, perkasa masa depan usahawan ke peringkat lebih tinggi
December 18, 2025, 12:12 pm
Ringgit kukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS
December 17, 2025, 1:25 pm
Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan
December 1, 2025, 11:32 am
Perodua perkenal EV pertama QV-E berharga RM80,000
November 18, 2025, 5:45 pm
Saga Serba Baharu cipta fenomena, satu tempahan diterima setiap 43 saat
November 17, 2025, 11:45 am
Pendapatan pelaburan KWSP melonjak RM63.99 bilion dalam sembilan bulan
November 14, 2025, 5:03 pm
Ringgit stabil, catat peningkatan sejak awal tahun – BNM
November 6, 2025, 3:53 pm
