TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM buka 20,000 jawatan guru bermula hari ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan sebanyak 20,000 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara perkhidmatan kontrak (Contract of Service, CoS) bagi penempatan di sekolah rendah, bermula pukul 2 petang ini.

Menurut hebahan di laman rasmi KPM, permohonan dibuka sehingga 20 Mac 2026 dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi portal https://mypdpp.moe.gov.my/pdpp26.

Antara syarat permohonan ialah graduan bukan pendidikan, warganegara Malaysia serta memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

KPM memaklumkan hanya calon yang layak akan dipanggil menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan sesi temu duga. Calon yang berjaya pula diwajibkan mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan pembiayaan sendiri sepanjang tempoh kontrak.

Pada Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, berkata pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian persiapan awal kementerian bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Langkah berkenaan juga sebagai persediaan menghadapi kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.

Menurut beliau, proses pengambilan itu dilaksanakan dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Gerak kerja telah dijadualkan termasuk hebahan pengambilan guru pada 23 Februari, pembukaan permohonan (2 hingga 20 Mac 2026) serta proses saringan dan temu duga bermula 27 April hingga 14 Mei,” katanya.

Bagi memastikan kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di IPG dalam pelbagai bidang pengkhususan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun akan dilaksanakan secara sukarela bermula tahun depan.

Untuk rekod, lebih 416,000 guru kini berkhidmat dalam sektor pendidikan awam, manakala seramai 52,948 guru baharu telah ditempatkan sejak 2023 bagi mengisi kekosongan di seluruh negara.

Ketika ini, terdapat 10,233 sekolah di Malaysia dan daripada jumlah tersebut, 3,164 dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

+ - reset