TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki panjat tiang elektrik potong kabel TM ditahan polis

By
|
Kongsi
image

IPOH 4 Mac – Seorang lelaki yang tular kerana memanjat tiang elektrik dipercayai bagi mencuri kabel dalam kejadian di Kampung Baru Jelapang di sini, berjaya ditahan polis pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu disedari seorang penduduk selepas ternampak suspek, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun, memanjat tiang elektrik sebelum memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, saksi sempat merakam kejadian tersebut sebelum menghubungi ketua kampung untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Menurutnya, ketua kampung kemudiannya tiba di lokasi dan mengarahkan lelaki itu turun dari tiang elektrik serta menyerah diri sebelum polis dipanggil bagi mengambil tindakan lanjut.

“Suspek kemudian berjaya ditahan dan diserahkan kepada anggota dari Balai Polis Jelapang yang berada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut.

Antara barangan yang ditemui ialah satu alat pemotong wayar, gunting berwarna hitam, sebilah pisau potong berwarna hitam bertulisan ‘Kiwi’ serta seunit playar.

“Kesemua peralatan tersebut telah dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri,” katanya.

Sebelum ini, satu video berdurasi 47 saat tular di media sosial memaparkan tindakan berani seorang lelaki memanjat tiang elektrik dan memotong kabel yang dipercayai berkait dengan kegiatan mencuri kabel.

Rakaman itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut berbahaya selain berani melanggar undang-undang kerana dilakukan secara terbuka pada waktu siang.

+ - reset