Berita Berita
Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan tidak penting ke Timur Tengah
KUALA LUMPUR 4 Mac – Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak mendesak ke beberapa negara di Timur Tengah berikutan ketegangan keselamatan serta gangguan perjalanan yang masih berlaku di rantau berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dengan pemantauan rapi dilakukan melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara yang terjejas.
Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia disaran menangguhkan perjalanan ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu sehingga keadaan kembali stabil.
“Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian masih berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu mengumumkan pembukaan laluan udara selamat yang ditetapkan bagi mengawal pergerakan penerbangan dengan lebih teratur.
Sementara itu, Malaysia Aviation Group memaklumkan bahawa penerbangan ke dan dari Jeddah serta Madinah disambung semula secara sementara bagi tempoh 4 hingga 8 Mac, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penumpang yang terjejas.
Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan serta rakan operasi bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perjalanan tersebut.
Di Emiriah Arab Bersatu, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang berhubung secara berterusan dengan rakyat Malaysia yang masih menunggu pengaturan perjalanan seterusnya, khususnya mereka yang berdepan transit yang panjang atau memerlukan penginapan sementara.
Menurut kementerian itu, susulan pengumuman mengenai laluan udara selamat berkenaan, perwakilan Malaysia kini mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan urusan perjalanan dapat diselaraskan dengan lebih teratur apabila keadaan mengizinkan.
Pegawai konsular juga menjalankan pemantauan kebajikan secara berkala, dengan tumpuan diberikan kepada individu yang menghadapi tempoh transit yang lama atau masalah berkaitan tempat penginapan.
Di Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus mengikuti perkembangan melibatkan jemaah umrah Malaysia yang terjejas selain memantau penyambungan semula operasi penerbangan komersial yang dilakukan secara berperingkat.
Dalam masa sama, Perwakilan Diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain turut memantau keadaan rakyat Malaysia yang berada dalam transit atau menunggu jadual penerbangan baharu.
Rakyat Malaysia yang berada di Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria pula dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun dinasihatkan supaya terus berwaspada.
Kementerian turut mengemas kini maklumat rakyat Malaysia melalui sistem e-Konsular selain bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan kebajikan pelajar di rantau yang terjejas terus dipantau.
Bagi sebarang bantuan konsular, Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya kekal beroperasi 24 jam sehari.
Berita berkaitan
March 4, 2026, 2:58 pm
Ops Middleman: SPRM sita aset RM7.7 juta, beku akaun
March 4, 2026, 2:23 pm
29,000 rakyat Malaysia terjejas di Timur Tengah, paling ramai di UAE
March 4, 2026, 1:42 pm
Seorang anak Tun Daim hubungi SPRM bantu siasatan Op Godfather
March 4, 2026, 1:06 pm
Lelaki panjat tiang elektrik potong kabel TM ditahan polis
March 4, 2026, 12:55 pm
SPRM cari bekas pegawai khas Rafizi Ramli
March 4, 2026, 11:34 am
Anwar tarik balik rayuan termasuk imuniti Perdana Menteri, diperintah bayar kos RM50,000
March 4, 2026, 11:24 am
Wanita warga asing ditemui maut di asrama pekerja di Nilai
March 4, 2026, 11:12 am
Bau busuk bongkar penemuan dua beranak maut di Teluk Kumbar
March 4, 2026, 11:03 am
