Berita Berita
DS Vida gagal ketepi penghakiman ingkar pinjaman tertunggak RM15.5 Juta
KUALA LUMPUR 5 Mac – Usahawan kosmetik terkenal, Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, gagal mengetepikan penghakiman ingkar berjumlah RM15.5 juta yang diperoleh Maybank Islamic Berhad berhubung pinjaman tertunggak.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Norsharidah Awang yang menolak permohonan Vida dan syarikatnya, Vida Beauty Sdn Bhd kerana gagal menunjukkan sebarang pembelaan bona fide, selain mendapati penghakiman tersebut diperoleh secara teratur.
Penghakiman ingkar direkodkan apabila defendan gagal hadir atau memberikan respons dalam tempoh ditetapkan, sekali gus membolehkan plaintif memperoleh penghakiman tanpa melalui perbicaraan penuh.
Kes itu berpunca daripada dua kemudahan pembiayaan Commodity Murabahah Term Financing-i (CMTF-i) berjumlah RM8.946 juta yang diberikan kepada Vida Beauty pada Oktober 2017 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. Vida turut menandatangani jaminan peribadi bagi kedua-dua kemudahan berkenaan.
Namun, bank menamatkan kemudahan pembiayaan tersebut selepas defendan gagal menjelaskan ansuran bulanan sebelum menuntut bayaran penuh harga jualan bank termasuk keuntungan serta caj bayaran lewat.
Pada 6 Januari 2023, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap defendan berjumlah RM15,520,708.91 selepas mereka gagal memasukkan kehadiran.
Pada Disember tahun sama, defendan memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu serta memohon lanjutan masa bagi memfailkan pembelaan, dengan alasan writ dan pernyataan tuntutan tidak disampaikan secara sempurna selain mendakwa mempunyai pembelaan bermerit.
Vida turut berhujah tuntutan bank adalah pramatang kerana jumlah dituntut merangkumi keuntungan belum diperoleh serta isu berkaitan ibra’ (rebat).
Bagaimanapun, dalam alasan penghakimannya semalam, Norsharidah berkata kelewatan kira-kira 11 bulan untuk memfailkan permohonan tersebut adalah tidak munasabah dan tidak disertakan penjelasan mencukupi.
Beliau berkata, walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk melanjutkan tempoh, ia bukanlah automatik dan mesti disokong dengan alasan yang memuaskan.
Mahkamah juga mendapati writ berkenaan telah disampaikan mengikut terma perjanjian pembiayaan dan jaminan yang membenarkan penyampaian melalui pos berdaftar prabayar ke alamat kontrak.
“Penerimaan sebenar bukanlah satu keperluan apabila penyampaian dibuat mengikut terma kontrak yang dipersetujui dan Kaedah-Kaedah Mahkamah.
“Perjanjian pembiayaan dengan jelas memperuntukkan bahawa apabila berlaku keingkaran, keseluruhan harga jualan bank menjadi serta-merta perlu dibayar,” katanya.
Mahkamah turut memutuskan defendan gagal mengemukakan pembelaan yang wajar untuk dibicarakan dan membenarkan permohonan tersebut boleh menjejaskan kemuktamadan prosiding serta kepastian komersial.
Mahkamah turut menganugerahkan kos RM5,000 kepada pihak bank.
Berita berkaitan
April 4, 2026, 8:07 pm
Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
