Berita Berita
Risikan dua bulan Imigresen berhasil, sindiket manipulasi permohonan pembantu rumah asing di Johor tumpas
JOHOR BAHRU 5 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket yang memanipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) serta menyalahgunakan kemudahan Sistem Maid Online (SMO) menerusi dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini baru-baru ini.
Serbuan yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama dua bulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pertama pada 2 Mac lalu di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, pasukan operasi menahan 11 warga asing terdiri daripada lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.
Menurutnya, semakan awal mendapati sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa selain menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.
“Pasukan operasi turut menyita pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.
“Premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira satu tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Zakaria berkata, operasi kedua yang dijalankan pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru pula berjaya menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan SMO.
Dalam serbuan itu, seramai lima wanita warga asing ditahan terdiri daripada empat warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.
“Turut ditahan seorang lelaki warganegara tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan mengemukakan maklumat serta dokumen yang disyaki palsu bagi mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA untuk individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan.
“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k),” katanya.
Tambahnya, beberapa warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
Beliau menegaskan kejayaan dua operasi tersebut membuktikan JIM bukan sahaja mempergiat penguatkuasaan di lapangan, malah turut memantau secara digital bagi memastikan sistem imigresen negara tidak dimanipulasi oleh sindiket.
“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara,” katanya.
Berita berkaitan
April 4, 2026, 8:07 pm
Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
