Berita Berita
RUU had tempoh Perdana Menteri 10 tahun akan dibentang semula Jun ini
PUTRAJAYA 5 Mac – Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung Jun ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata kerajaan berharap pindaan Perlembagaan yang bersifat tidak partisan serta bertujuan menambah baik demokrasi negara itu akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen apabila dibentangkan semula nanti.
"Seharusnya semua Ahli Parlimen memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku satu keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa dia akan dan dia boleh melakukan apa sahaja kerana dia boleh berkuasa sehingga bila-bila," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, semalam.
RUU berkenaan sebelum ini gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen pada Isnin lepas apabila hanya 146 menyokong, manakala 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.
Keputusan undi belah bahagi itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini turut diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berhubung status lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak hadir dalam sesi mengundi bagi RUU itu.
Beliau berkata Kabinet juga difahamkan berlaku salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang beranggapan RUU itu adalah untuk memberi mandat kepada Anwar menjadi Perdana Menteri bagi tempoh 10 tahun.
Lapan Ahli Parlimen menyokong kerajaan tetapi tidak hadir semasa sesi mengundi RUU itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata keyakinan itu bersandarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap cadangan reformasi berkenaan, meskipun RUU tersebut tidak memperoleh sokongan dua pertiga dalam pengundian Isnin lepas.
Beliau berkata kebanyakan Ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses pengundian menyatakan sokongan terhadap RUU itu.
“Dua ahli Parlimen telah menghantar surat rasmi menjelaskan sebab ketidakhadiran mereka, manakala beberapa yang lain turut memaklumkan perkara sama secara lisan.
"Ada yang terkandas di luar negara disebabkan penerbangan tak ada... kecuali Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) yang mengatakan dia tidak bersetuju, yang lain semua menyokong cuma kebetulan keadaan pada waktu itu mereka tidak dapat hadir,” katanya.
Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem pentadbiran negara.
Tambahnya, cadangan berkenaan juga tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun institusi Raja-Raja Melayu.
Keputusan undi belah bahagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu sebelum ini menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.
Pindaan Perlembagaan tersebut memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
Berita berkaitan
April 4, 2026, 8:07 pm
Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
