TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DAP gesa RCI siasat dakwaan ‘mafia korporat’ salah guna institusi penguat kuasa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Mac - DAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikatakan menyalahgunakan institusi penguat kuasa untuk kepentingan peribadi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, cadangan itu antara tiga ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti berkenaan di sini, malam tadi.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas bagi memastikan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus terpelihara.

“Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan RCI.

“RCI itu bertujuan menyiasat secara menyeluruh dakwaan berkenaan serta mencadangkan langkah bagi mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan mengenai kewujudan gejala ‘mafia korporat’ yang didakwa menawarkan ‘perkhidmatan’ intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.

Laporan itu turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan bagi memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat yang disasarkan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan polis.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata DAP turut melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membentangkan semula RUU berkenaan dalam sidang Parlimen akan datang bagi merealisasikan agenda reformasi penting tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata DAP menyokong keputusan kerajaan merujuk RUU Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Menurutnya, wakil DAP dalam jawatankuasa itu iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan akan memainkan peranan bagi menambah baik aspek akauntabiliti serta ketelusan dalam proses pelantikan jawatan berkenaan.

“DAP terus komited mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, selain menyokong penuh usaha memerangi rasuah,” katanya.

+ - reset