Berita Berita
Lelaki meninggal dunia akibat rabies, kes pertama di Sarawak tahun ini
KUALA LUMPUR 5 Mac – Seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia akibat rabies pada 25 Februari lalu, sekali gus menjadi kes kematian pertama akibat penyakit itu di Sarawak bagi tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 2017, sebanyak 91 kes jangkitan dilaporkan dengan 84 kematian direkodkan, menunjukkan kadar kematian yang sangat tinggi iaitu 93 peratus.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah digigit haiwan.
“Bagaimanapun, mangsa gemar memberi makan anjing liar dan memelihara 15 ekor anjing. Difahamkan, salah seekor anjing peliharaannya mati secara mengejut pada awal Februari lalu,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.
Dzulkefly berkata, kes itu menjadi peringatan kepada orang ramai bahawa jangkitan rabies tidak semestinya berlaku melalui gigitan yang jelas.
“Sentuhan rapat, cakaran atau mengendalikan bangkai haiwan yang dijangkiti tanpa perlindungan juga membawa risiko tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan pendekatan One Health yang mengintegrasikan kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.
“Kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran saling berkait rapat. Apabila satu terjejas, semua pihak berisiko,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah pencegahan segera sekiranya terdedah kepada risiko jangkitan, termasuk mencuci luka gigitan atau cakaran dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit serta mendapatkan rawatan Post-Exposure Prophylaxis (PEP) dengan segera.
Beliau juga menasihatkan pemilik haiwan peliharaan supaya memastikan haiwan mereka menerima vaksin rabies setiap tahun.
Selain itu, orang ramai diingatkan supaya mengelakkan daripada mengendalikan haiwan liar yang tidak diketahui status vaksinasinya serta melaporkan kematian haiwan yang mencurigakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan.
Dzulkefly menegaskan tindakan pantas amat penting kerana rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa.
Berita berkaitan
April 4, 2026, 8:07 pm
Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
