Berita Berita
Meriah 'shopping' raya selama 44 jam, lebih 350,000 pengunjung dijangka banjiri Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2026 di Pulau Pinang
PULAU PINANG 7 Mac – Festival gaya hidup dan beli-belah terbesar menjelang Aidilfitri, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya (ABxFGR) 2026, kembali mencuri perhatian apabila buat julung kalinya dianjurkan di Pulau Pinang, menjanjikan kemeriahan tanpa henti selama 44 jam di PICCA Convention Centre bermula 6 Mac hingga esok.
Festival berskala besar itu dianjurkan oleh My Events International bersama Absolut Events & Management, menghimpunkan lebih 150 reruai pempamer, lebih 40 vendor makanan dan minuman, serta menyasarkan kehadiran lebih 350,000 pengunjung dengan anggaran jualan mencecah RM7 juta.
Majlis pembukaan festival berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin, yang menyifatkan penganjuran festival tersebut sebagai platform penting dalam memperkukuh industri pelancongan serta ekonomi kreatif negara.
Beliau berkata, acara gaya hidup seperti ini bukan sekadar festival beli-belah, malah menjadi medium yang menyatukan masyarakat, usahawan dan penggiat industri kreatif dalam meraikan budaya serta tradisi perayaan Malaysia.
“Festival seperti ini lebih daripada sekadar acara; ia merupakan platform yang mengumpulkan keluarga, usahawan, artis dan pelawat dari jauh dan dekat untuk meraikan keindahan tradisi perayaan Malaysia,” katanya ketika merasmikan acara tersebut, semalam.
Menurut beliau, penganjuran festival berkenaan juga sangat strategik bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mampu merancakkan lagi ekosistem pelancongan negara dengan menarik pelawat serta meningkatkan perbelanjaan domestik.
Pulau Pinang pula dilihat sebagai lokasi ideal untuk festival berkenaan kerana negeri itu sudah lama dikenali sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan meriah di negara ini.
Sementara itu, penganjur bersama, Dailan Muhammad berkata, festival berkenaan diteruskan selepas kejayaan penganjurannya di Brunei yang menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung.
“Kami mengharapkan sambutan yang lebih meriah daripada masyarakat Pulau Pinang dan pengunjung dari seluruh negara,” katanya.
Sepanjang tiga hari festival berlangsung, pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah pelbagai produk raya, malah turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti MimiFly, Kugiran Masdo, Hael Husaini dan Nadeera.
Festival itu juga menampilkan sesi beramah mesra bersama selebriti termasuk Merqeen, Qasrina Karim, Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Sky Iskandar serta usahawan terkenal Dato’ Sri Vida.
Bagi menambah keterujaan pengunjung, penganjur turut menawarkan cabaran khas Grab Gold Bar Challenge, di mana 50 pengunjung terawal berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM100.
Festival berkenaan turut disokong oleh beberapa jenama terkenal termasuk Kunafa Aiwahh, Sugar Bomb, Cik B Salmon Skin, Ombak Exclusive, Q Puteh dan Siti Khadijah sebagai rakan penaja.
Dengan gabungan elemen hiburan, gaya hidup dan keusahawanan, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2026 dijangka menjadi antara festival raya terbesar dan paling meriah di Malaysia tahun ini, sekali gus mengukuhkan Pulau Pinang sebagai hab festival dan pelancongan utama di wilayah utara negara.
Berita berkaitan
March 7, 2026, 11:34 pm
Dua pegawai kanan, seorang anggota polis antara enam ditahan kes samun berkumpulan di Gombak
March 7, 2026, 8:51 pm
'Jangan politikkan kes hina al-Quran, beri ruang mahkamah tentukan' – Sivakumar
March 7, 2026, 6:51 pm
Doktor pelatih ditemui maut di asrama hospital di Kuala Krai
March 7, 2026, 5:23 pm
Penguat kuasa MPS dibelasah penjual rokok haram ketika rondaan
March 7, 2026, 1:07 pm
Lelaki Malaysia cipta rekod dunia miliki 42 batang gigi
March 7, 2026, 12:26 pm
Bayaran balik lebihan cukai mula dikreditkan bermula minggu depan
March 7, 2026, 12:06 pm
KJ mahu masuk UMNO semula
March 6, 2026, 9:14 pm
